China buat pertama kalinya mendahului Amerika Syarikat menjadi rakan dagang terbesar bagi Kesatuan Eropah (EU) pada 2020, menurut data terkini dari agensi statistik Eurostat.
Antara sepuluh rakan dagang barangan paling besar bagi EU, China satu-satunya yang mewujudkan pertumbuhan perdagangan import dan eksport dengan blok itu.
Pada tahun lalu, EU mengimport barangan sebanyak 383.5 bilion euro dari China, meningkat 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, sementara mengeksport barangan bernilai 202.5 bilion euro ke China, naik 2.2 peratus.
Menurut analisis, permintaan tinggi negara EU terhadap bahan-bahan keperluan melawan COVID-19 dan produk elektronik telah memacu eksport barangan berkenaan China ke EU.
Pada masa sama, kecekapan China dalam mengawal wabak dan menyambung semula pengeluaran turut merangsang pemulihan penggunaan domestik, sekali gus menyediakan pasaran kepada komoditi Eropah seperti kereta.
Tidak boleh dinafikan bahawa prestasi baik itu adalah berkat kesungguhan bersama dari segi dasar, serta asas perdagangan yang kukuh antara kedua-dua pihak.
Sejak beberapa dekad lalu, hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dan EU kekal berkembang dengan stabil.
Setakat 2019, EU muncul sebagai rakan dagang terbesar China selama 16 tahun berturut-turut, manakala China rakan dagang kedua terbesar bagi blok itu selama 15 tahun berturut-turut.
Tambahan pula dengan selesainya rundingan perjanjian pelaburan China-EU pada hujung 2020 mengikut jadual, kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak diyakini mempunyai prospek yang lebih cerah.
Selaku dua pasaran utama di dunia, kerjasama pragmatik yang lebih kukuh antara China dan EU pasti akan mendorong pemulihan global pada era pasca pandemik, sekali gus menyumbang kepada pembentukan ekonomi dunia yang terbuka.