China, Brunei Bincang Situasi Myanmar

2021-02-20 14:11:42  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi menghubungi Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Dato Seri Setia Erywan bin Pehin Yusof menerusi telefon untuk membincangkan hubungan dua hala dan situasi Myanmar, pada Jumaat.

Erywan mengucapkan terima kasih atas bantuan vaksin kecemasan daripada China, dengan menyifatkannya mencerminkan persahabatan sejati kedua-dua negara yang sanggup tanggung susah senang bersama pada masa getir membendung COVID-19, selain menggambarkan erti sebenar perkongsian strategik Brunei-China.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 terjalinnya hubungan diplomatik China-Brunei.

Wang Yi menyatakan bantuan vaksin yang dihulurkan sesegera mungkin mengikut keperluan Brunei, memperlihatkan sokongan China terhadap negara itu dalam perjuangan memerangi COVID-19.

China bersedia memperhebat sinergi dengan Brunei hingga mencapai kemenangan dalam perjuangan tersebut.

Menyentuh situasi semasa Myanmar, Erywan berkata, adalah bergantung pada rakyat Myanmar untuk menemukan penyelesaian jangka panjang bagi hal ehwal dalaman negara mereka.

Selaku pengerusi bergilir ASEAN, Brunei berharap keadaan di Myanmar dapat kembali stabil seawal mungkin.

Tambah beliau, ASEAN sedang mempertimbangkan untuk mengadakan dialog dengan Myanmar, dan bersedia mengekalkan komunikasi rapat dengan China dalam isu berkenaan.

Wang Yi pula menyatakan sebagai jiran baik Myanmar, China sentiasa menyokong kestabilan dan pembangunan negara tersebut.

Situasi Myanmar juga berkait rapat dengan pembinaan komuniti ASEAN serta proses integrasi blok itu.

Katanya, masalah dihadapi Myanmar adalah urusan dalamannya yang perlu diselesaikan secara damai dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang. Sementara itu, peralihan demokratik di negara itu harus didorong dengan teratur.

China menyokong ASEAN memainkan peranan positif dalam hal ini mengikut kaedahnya tersendiri yang menjunjung prinsip tidak campur tangan serta konsensus dicapai melalui rundingan.

ASEAN, selaku pertubuhan serantau yang matang, dipercayai mempunyai kebijaksanaan politik untuk membantu Myanmar mengharungi kesukaran semasa.

高蕾