China, Filipina Sambut Ulang Tahun Ke-30 Hubungan Dialog China-ASEAN

2021-03-10 11:24:39  CRI
Share with:

Upacara perasmian seminar sambutan ulang tahun ke-30 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN anjuran bersama oleh misi diplomatik China dan Filipina di ASEAN telah diadakan secara telesidang di Jakarta semalam. Inilah aktiviti yang pertama melibatkan “Forum Jakarta Hubungan China-ASEAN” pada 2021.

Ketua Setiausaha ASEAN, Lim Jock Hoi dalam ucapannya menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi China dan ASEAN kekal kuat di sebalik impak buruk akibat COVID-19. Vaksin yang dihulurkan China kepada ASEAN dijangka akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi blok tersebut. Hubungan kedua-dua pihak dapat diintensifkan lagi dalam usaha bersama-sama melawan pandemik kali ini. Beliau berkata, kedua-dua pihak masih perlu meningkatkan kerjasama dalam bidang perubahan iklim, perlindungan alam sekitar, mengurangkan kemiskinan dan menangani urusan bencana.

Naib Menteri Luar China, Luo Zhaohui pula menyatakan, China sentiasa mengutamakan ASEAN dalam diplomasi kejiranan. Setelah tercetus wabak COVID-19, kedua-dua pihak memilih bekerjasama dan saling membantu sehingga menjadikan Asia Timur sebagai contoh dalam membendung wabak dan peneraju dalam pemulihan ekonomi sedunia. Menyentuh tentang perkembangan hubungan China-ASEAN, Luo berkata, kedua-dua pihak perlu terus mendorong dialog strategik, meningkatkan kerjasama keselamatan dalam bidang baik konvensional mahupun bukan konvensional, menentang mentaliti Perang Dingin dan politik berkelompok di samping mempercepatkan proses rundingan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.

Naib Menteri Luar Filipina, Elizabeth pula menyatakan ASEAN dan China sudah bertahun-tahun bantu-membantu dan mengekalkan kerjasama yang saling menguntungkan. Kedua-dua pihak perlu terus berusaha untuk menaikkan hubungan rakan strategik ke tahap yang lebih tinggi.

Seminar kali ini diserikan dengan kehadiran ramai pakar dan sarjana dari China, Indonesia, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Thailand. Semua hadirin mengharapkan China dan ASEAN terus mengintensifkan kerjasama dan memainkan peranan yang penting dalam melawan wabak dan pemulihan ekonomi serantau.

 

张宪