Vaksin China Diperuntuk Tangani Penularan COVID-19 di Bangkok

2021-03-18 15:08:04  CRI
Share with:

Pihak berkuasa Bangkok akan memperluas lingkungan program pemvaksinan susulan penularan wabak COVID-19 yang berlaku di pinggir bandar itu.

Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang berkata sebanyak 6,000 dos vaksin keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac akan diperuntukkan untuk suntikan kepada penduduk di daerah Bang Khae yang menyaksikan lonjakan jangkitan baharu akhir-akhir ini.

Hampir 300 jangkitan dilaporkan di beberapa pasar dan kawasan komuniti di daerah tersebut dalam seminggu lalu.

Dalam perkembangan lain, program pemvaksinan sedang dijalankan secara teratur di 13 wilayah Thailand pada masa ini, dengan menggunakan vaksin kumpulan pertama sebanyak 200 ribu dos yang dibeli dari syarikat Sinovac.

Berikutan jumlah vaksin yang terhad, keutamaan turut diberikan kepada kawasan berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan COVID-19 serta wilayah yang sektor pelancongannya terkena tempias.

Setakat ini, lebih 50 ribu rakyat Thailand telah menerima suntikan vaksin Sinovac termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul dan anggota kabinet negara itu.

Kumpulan kedua vaksin Sinovac sebanyak 800 ribu dos dijadualkan dihantar ke Thailand bulan ini, disusuli sejuta dos lagi yang akan sampai pada bulan depan.

Menurut Anutin, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pengeluar vaksin China untuk membeli lagi 5 juta dos vaksin COVID-19.

张哲