Setiap Negara Harus Berbakti Perangi COVID-19

2021-03-19 10:55:19  CRI
Share with:

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin telah menerima suntikan pertama vaksin Sinovac di Hospital Rembau petang Khamis.

Awal bulan ini, Malaysia meluluskan penggunaan secara bersyarat dua lagi vaksin iaitu Sinovac dan AstraZeneca, selepas Pfizer, bagi menyokong program imunisasi negara.

Melihat dalam konteks lebih luas, keputusan beliau untuk menerima vaksin selain Pfizer itu turut membantu mengurangkan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan vaksin.

Ia lebih-lebih lagi tatkala negara Eropah seperti Jerman, Sepanyol, Belanda, Denmark, Norway dan Iceland menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca susulan laporan bahawa wujudnya risiko pembekuan darah.

Antara negara bukan Barat, hanya sebilangan kecil yang mampu memperoleh begitu banyak saluran pembekalan vaksin seperti Malaysia.

Lebih manis lagi, Malaysia juga mengimport vaksin Sinovac dalam bentuk cecair untuk dibotolkan di kilang Pharmaniaga.

Jalinan kerjasama Malaysia dengan China menerusi Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS) bagi melaksanakan ujian klinikal vaksin baharu turut memperlihatkan kesungguhan kedua-dua negara dalam menjamin bekalan dan pengeluaran vaksin.

Langkah tersebut secara tidak langsung mendorong syarikat Barat seperti Pfizer dan AstraZeneca membekalkan vaksin kepada Malaysia secara berterusan.

Sama seperti mana-mana negara, China juga tidak mempunyai "kuasa ajaib" untuk memenuhi keperluan vaksin seluruh dunia.

Apa yang mampu diusahakan China buat masa ini adalah menyediakan perlindungan kepada barisan hadapan, khususnya di negara membangun yang susah mendapatkan bekalan vaksin dari Barat, sekali gus memastikan sistem perubatan mereka beroperasi dengan lancar dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Untuk tujuan itu, China telah menyalurkan bantuan vaksin kepada 69 negara membangun, mengeksport vaksin kepada 43 negara lain, selain berjanji menyediakan 10 juta dos vaksin kepada COVAX.

Walau bagaimanapun, kesungguhan China sering dipersoalkan segelintir negara Barat yang antaranya mendakwa kadar pengambilan vaksin di negara itu agak rendah.

Walaupun angka itu memang tidak berapa tinggi, namun ia bukan disebabkan keengganan rakyat untuk disuntik, tetapi kerana kes jangkitan di China mencatatkan sifar setiap hari.

Dalam perkembangan lain, program pemvaksinan dilaksanakan secara teratur dewasa ini.

Satu fakta bahawa walaupun kadar suntikan di China mungkin tidak begitu tinggi berbanding negara Barat, tapi jumlahnya adalah cukup besar dengan kira-kira 65 juta dos vaksin sudah disuntik di seluruh negara setakat ini.

Saya sendiri bersama-sama isteri dan ayah yang berumur lebih 60 tahun telah menerima suntikan menggunakan vaksin berbeza iaitu Sinopharm dan Sinovac. Ibu saya pula dinasihatkan untuk tidak mengambil vaksin kerana sedang menggunakan sejenis ubat lain.

Terdahulu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam wawancara bersama BBC menyatakan bahawa vaksin tidak mempunyai kewarganegaraan.

Beliau yakin terhadap vaksin China dengan mengatakan ia kerana negara itu mempunyai saintis dan penyelidik yang unggul.

Selain itu, kesan sampingan yang didapati pada vaksin AstraZeneca membuktikan, berbanding keputusan ujian klinikal yang dijalankan dalam waktu singkat, data keselamatan vaksin yang dikumpul selepas penggunaan secara besar-besaran lebih meyakinkan.

Usaha menyelamatkan dunia daripada COVID-19 mustahil dijayakan oleh sesebuah negara saja, sebaliknya memerlukan sinergi global.

Meskipun China hampir sifar jangkitan tempatan, tetapi merekodkan kes import setiap hari. Jika wabak gagal terkawal di dunia, China tidak boleh dikatakan selamat.

Oleh sebab itulah China sentiasa menganggap membantu negara lain bersamaan membantu diri sendiri.

Pada detik sukar ini, setiap negara harus berbakti memerangi COVID-19 dengan cara sendiri.

Langkah Malaysia mengimport vaksin Sinovac dalam bentuk cecair untuk dibotolkan syarikat tempatan secara tidak langsung membantu Sinovac menjimatkan masa dan proses pengeluaran supaya dapat menghasilkan lebih banyak dos untuk dibekalkan kepada negara membangun yang kekurangan fasiliti.

Jika semua negara sanggup meniru kolaborasi yang dilakukan China dan Malaysia, pandemik COVID-19 akan dapat ditewaskan lebih cepat daripada yang dijangka.

张哲