Lindung Kaum Minoriti Perlu Tindakan Praktikal

2021-03-23 15:58:46  CRI
Share with:

Demonstrasi yang menentang sentimen kebencian terhadap keturunan Asia tercetus di beberapa tempat di Amerika Syarikat (AS) susulan peningkatan mendadak jenayah menyasar golongan tersebut baru-baru ini.

Dilihat dari perspektif sejarah, keturunan Asia pernah membuat sumbangan besar kepada pembangunan AS yang dikenali umum sebagai sebuah negara yang menjadi tumpuan imigran.

Selepas tercetusnya pandemik COVID-19, berjuta-juta petugas perubatan keturunan Asia giat terlibat dalam perjuangan melawan wabak dengan bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan melindungi kesihatan rakyat.

Namun sekarang, mereka terdedah kepada ancaman serius daripada jenayah kebencian.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, insiden kekerasan yang berlaku di AS tersebut adalah disebabkan rasisme yang mengaitkan COVID-19 dengan Asia.

Perbuatan kerajaan terdahulu AS menabur kata-kata fitnah menyasar China dan menghasut kebencian secara sewenang-wenangnya, antara punca yang membawa kepada keadaan semasa.

Kurangnya keinginan dan motivasi penggubal dasar AS bagi menyelesaikan masalah tersebut pula menjadi faktor utama yang menyebabkan parut diskriminasi kaum sukar untuk dihilangkan sehingga kini.

Situasi hak asasi manusia yang bertambah buruk di AS buat masa ini turut menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.

Dalam sesi ke-46 Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC), wakil dari 116 negara telah mengemukakan 347 cadangan kepada AS untuk menambah baik situasi hak asasinya.

Politikus negara itu patut meneliti cadangan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan segera mengambil tindakan praktikal untuk melindungi hak asasi kaum minoriti.

周乔西