Guizhou, ASEAN Tingkatkan Kerjasama Sektor Industri Perubatan Tradisional Cina

2021-03-26 13:00:00  CRI
Share with:

Guizhou, ASEAN Tingkatkan Kerjasama Sektor Industri Perubatan Tradisional Cina_fororder_微信图片_20210326124306

Industri perubatan tradisional Cina telah menjadi sektor penting dalam kerjasama antara provinsi Guizhou China dengan ASEAN pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Pada majlis pertemuan antara China dengan ASEAN yang diadakan secara maya di Guiyang semalam, rata-rata peserta bersependapat bahawa kerjasama dalam sektor tersebut perlu diperkasakan oleh kedua-dua pihak dalam usaha melawan pandemik COVID-19 bagi menjaga kesihatan.

Majlis pertemuan anjuran bersama Majlis Perniagaan China-ASEAN (CABC) dan Jabatan Perdagangan Guizhou itu berjaya menarik penyertaan lebih 40 orang peserta yang melibatkan wakil dari Kedutaan Besar negara ASEAN di China termasuk Malaysia, Vietnam, Laos, Kemboja, Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei, ketua-ketua dari dewan perniagaan dan perindustrian, persatuan pedagang perubatan dan usahawan.  

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif CABC, Xu Ningning turut memperkenalkan usaha China dalam mengeluarkan pelbagai jenis perubatan tradisional Cina dan menghulurkan bantuan kepada negara-negara ASEAN dalam usaha melawan pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun yang lalu.

Dalam perkembangan lain, Naib Ketua Jabatan Perdagangan Provinsi Guizhou, Ran Li pula memberitahu bahawa Guizhou mempunyai sebanyak lebih 4,800 jenis tumbuhan herba dan 47 jenis daripadanya  merupakan herba peringkat perlindungan kebangsaan.

Jelas Ran, pihaknya bertekad untuk menjadikan Guizhou sebagai contoh kerjasama dan pertukaran antara Guizhou dengan negara ASEAN dalam sektor industri perubatan tradisional Cina .

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Perubatan Cina Malaysia (MCMA), Kong Why Hong turut mengambil peluang untuk mempromosi kelebihan Malaysia dalam perubatan tradisional, dan penggunaan herba dalam kalangan masyarakat tempatan.

Majlis tersebut turut menyaksikan perjanjian kerangka kerjasama antara Majlis Promosi Kerjasama Perdagangan bandar Guiyang dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berjaya dimeterai.

曹捷