Laporan Muktamad WHO Tolak Punca Penularan Virus dari Makmal

2021-03-31 13:14:08  CRI
Share with:

Laporan penyelidikan bersama mengenai punca koronavirus COVID-19 oleh China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dikeluarkan di sini pada Selasa.

Menurut laporan tersebut, dakwaan yang mengakatan virus berkenaan terlepas dari makmal itu dikategorikan sebagai 'berkemungkinan besar tidak terjadi'.

Misi antarabangsa ke Wuhan dalam kerja siasatan selama 28 hari itu membuat kesimpulan bahawa senario virus merebak menerusi perantara atau haiwan lain dianggap berada pada paras 'agak berkemungkinan' hingga 'berkemungkinan besar'.

Manakala, kebarangkalian virus merebak secara langsung kepada manusia pula dikategorikan sebagai 'berkemungkinan' hingga 'agak berkemungkinan', sementara virus itu turut dikategorikan sebagai 'berkemungkinan' untuk merebak kepada manusia menerusi makanan rantaian sejuk beku, selain dikategorikan sebagai 'mustahil' untuk merebak kepada manusia melalui makmal.

Selain itu, laporan tersebut turut mengemukakan cadangan untuk langkah seterusnya termasuk membentuk pangkalan data seragam global yang dapat mengesan kes-kes awal di serata dunia dengan lebih meluas.

Menurut Peter Ambarek yang merupakan Ketua Misi Antarabangsa WHO, cadangan tersebut turut diyakini dapat membantu dalam pencarian spesies haiwan yang berkemungkinan menjadi hos virus di beberapa negara serta memahami dengan lebih mendalam tentang penglibatan rantaian sejuk dan makanan sejuk beku dalam proses penularan virus.

Dalam pada itu, Ambarek ketika berucap pada sesi taklimat berhubung laporan tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada sokongan kerajaan dan saintis China terhadap usaha sama dalam siasatan punca COVID-19 kali ini.

Bagi Liang Wannian yang merupakan Ketua Misi Pakar China, laporan muktamad ini adalah hasil sinergi dan kesungguhan bersama pakar China dan antarabangsa.

Jelas beliau, misi pakar melakukan kerjasama penyelidikan dengan berlandaskan pemikiran saintifik dan bukti yang sebenar.

"Siasatan punca COVID-19 di China kali ini adalah sebahagian daripada siasatan tersebut di dunia.

"Kesimpulan dan cadangan dibuat dalam laporan ini adalah merujuk kepada perspektif global, dan penyelidikan masa depan tidak akan terbatas pada wilayah tertentu", kata Liang.

Sementara itu, Wakil Tetap China ke pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Chen Xu berkata, usaha penyiasatan punca virus adalah misi sejagat yang perlu dipikul saintis seluruh dunia.

Chen berkata, kajian bersama antara China dan WHO kali ini juga menjadi satu pedoman saintifik kepada setiap individu untuk lebih memahami COVID-19.

 

周乔西