Kolaborasi China, ASEAN Terus Berputik Menerusi BRI

2021-04-09 15:05:34  CRI
Share with:

Hubungan antara China dengan negara-negara ASEAN semakin memperlihatkan keakrabannya menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastuktur asas di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Projek penambahbaikan rangkaian pengangkutan antara pendekatan yang sentiasa diberi keutamaan kedua-dua pihak untuk memantapkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan, sekali gus menyuntik momentum baharu dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN.

Sebagai contoh, perkhidmatan tren dari Yiwu menuju ke Vietnam dengan membawa muatan secara pukal seperti komponen elektronik, plat keluli dan produk plastik sejak Oktober 2020 telah menjadikan provinsi Zhejiang buat julung-julung kalinya mempunyai rangkaian rel terus dengan negara Asia Tenggara.

Menurut Naib Ketua Jawatankuasa Pembangunan Pasaran Yiwu Zhejiang, Bei Xudong, pihaknya akan terus menyempurnakan perkhidmatan rel kargo itu sehingga laluan ulang-alik antara dua destinasi tersebut diwujudkan.

"Kami sedang merancang untuk memperluas perkhidmatan kami hingga ke Kemboja, Thailand dan negara lain, dengan mengoptimumkan sistem rangkaian kereta api Trans-Asia atau mengguna pakai khidmat laut-darat", ujar beliau.

Selain itu, segmen Vientiane-Vang Vieng projek lebuh raya yang dibangunkan bersama China dan Laos juga berjaya dibuka pada Disember lalu, iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone menyatakan bahawa projek itu merupakan hasil kerjasama pragmatik Laos-China di bawah kerangka BRI.

Beliau yakin, dengan usaha sama kedua-dua negara, visi membina komuniti berkongsi nasib Laos-China bakal terus berputik, sekali gus memperkukuh ikatan persahabatan dan kerjasama.

董筱娉