Jumlah import dan eksport antara China dengan 14 anggota lain Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mencatat RMB2.67 trilion (RM1.68 trilion) pada suku pertama tahun ini, meningkat 22.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Angka itu menyumbang 31.5 peratus kepada nilai keseluruhan dagangan luar China dalam tempoh tersebut.
Antaranya, dagangan dengan ASEAN, Jepun dan Korea Selatan masing-masing naik 26.1 peratus, 20.8 peratus dan 19.5 peratus.
Perjanjian RCEP dimeterai sepuluh anggota ASEAN bersama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand pada 15 November tahun lepas.
Ia sekali gus menandakan terbentuknya blok perdagangan bebas yang meliputi populasi paling ramai dengan skala ekonomi dan perdagangan paling besar di dunia.