Rejuvenasi Ekonomi China Kekal Kukuh

2021-04-17 14:07:00  CRI
Share with:

Data rasmi menunjukkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China bagi suku pertama merekodkan pertumbuhan sebanyak 18.3 peratus kepada 24.9 trilion yuan (RM15.74 trilion).

Selain itu, beberapa petunjuk ekonomi utama juga mencatat kenaikan dua digit, khususnya penggunaan mempamerkan prestasi yang memberangsangkan hingga menyumbang 54.3 peratus kepada KDNK.

Peningkatan itu hasil pelaksanaan dasar kerajaan bagi merangsang permintaan domestik dan penggunaan, selain didorong oleh kuasa beli yang lebih kuat serta keyakinan pengguna yang makin meninggi.

China bakal menjadi pasaran jualan runcit barang pengguna yang terbesar di dunia. Pemulihannya adalah lebih baik daripada jangkaan dengan tingginya permintaan terhadap import dan pelaburan syarikat transnasional, sekali gus menunjukkan tanda baik kepada rejuvenasi ekonomi global.

Pemulihan ekonomi China turut memberi kesan limpahan kepada kawasan lain di dunia menerusi saluran perdagangan serta permintaannya terhadap bahan mentah, barang pengguna dan barang pembuatan.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam satu laporan terkini, menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi China bagi tahun ini kepada 8.4 peratus daripada 8.1 peratus yang dijangkakan dulu.

Entiti ekonomi kedua terbesar dunia itu diyakini mampu terus menyaksikan pemulihan kukuh, di samping menyuntik tenaga lebih segar kepada dunia.

董筱娉