Menangani perubahan iklim global merupakan usaha bersama seluruh umat manusia, dan tidak sepatutnya dijadikan buah catur demi laba geopolitik, sasaran menghitamkan negara lain dan dalih mengenakan rintangan perdagangan.
Pendirian itu disuarakan Presiden China, Xi Jinping semasa menghadiri sidang kemuncak bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel secara maya baru-baru ini.
Unilateralisme dan amalan mempolitikkan pandemik COVID-19 telah membawa impak yang tidak diingini kepada dunia pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Dalam usaha menangani perubahan iklim yang berkaitan dengan pembangunan lestari seluruh umat manusia, masyarakat antarabangsa khususnya negara Barat perlu bermuhasabah dan mengambil iktibar bagi mengelakkan padah yang boleh membawa malapetaka.
Dalam sidang kemuncak tersebut, pemimpin ketiga-tiga negara sependapat mengenai peri mustahaknya menjunjung multilateralisme dan melaksanakan Perjanjian Paris secara menyeluruh ke arah membentuk sistem tadbir urus iklim global yang adil, munasabah dan saling untung.
Konsensus itu dianggap amat penting bagi China dan Eropah, bahkan dunia.
Akhir-akhir ini, sesetengah politikus Eropah melibatkan diri dalam cubaan anti-China yang diterajui AS, dan memburuk-burukkan nama China dalam dasar berkaitan Xinjiang dan Hong Kong. Hal ini membawa ketidaktentuan kepada perkembangan hubungan China-Eropah.
Namun, kerjasama dengan China tetap menjadi tumpuan Eropah. Hal ini juga dapat dilihat daripada konsensus kerjasama menangani perubahan iklim yang dicapai China dengan Perancis dan Jerman, yang merupakan dua anggota penting Kesatuan Eropah (EU).
Persepakatan itu turut melegakan dunia, sekali gus memperlihatkan bahawa kepentingan bersama dapat mengatasi faktor ideologi dan politik.