Tidak lama lagi, kita akan memasuki bulan ke-17 berlakunya wabak COVID-19 sejak ia pertama kali dilaporkan tercetus pada Januari tahun lalu.
Namun, pengakhiran kepada pandemik ini untuk majoriti negara di seluruh dunia masih samar-samar meskipun pelbagai usaha dilaksanakan termasuk program inokulasi, larangan rentas daerah dan kempen kesedaran tentang bahaya wabak.
Apabila sebut tentang prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan tidak mengadakan aktiviti secara berkumpulan, ramai yang sudah berasa penat untuk mematuhinya susulan angka kes masih tidak memperlihatkan perubahan besar.
Realiti yang perlu kita akur sebagai manusia adalah, kita semua mendambakan kehidupan normal seperti yang kita lalui sebelum tercetusnya wabak COVID-19.
Secara peribadi, kali terakhir penulis pulang ke tanah air adalah pada Disember 2019, iaitu dua minggu sebelum kes pertama wabak dilaporkan di Wuhan, provinsi Hubei.
Oleh itu, penulis dapat menyelami perasaan mereka yang terkesan seperti perantau yang berada di luar negara dan terpaksa berpisah dengan ahli keluarga masing-masing buat sementara waktu.
Rata-rata negara di dunia sekarang ini sedang berusaha untuk melaksanakan pembukaan dan pengoperasian semula bagi menampung kerugian yang berlaku pada peringkat awal berlakunya wabak.
Walau bagaimanapun, pembukaan semula seolah-olah memberi peluang kepada virus untuk mencari mangsa baharu.
Di India, pada seminggu yang lalu kita digemparkan dengan pengumuman gelombang kedua wabak COVID-19, menyaksikan jangkitan harian ketika ini melebihi 300,000 dengan angka kematian dicatatkan kira-kira 2,000 orang sehari.
Ia bukan sahaja merencatkan pemulihan ekonomi negara itu, malah turut mengundang masalah baharu iaitu bekalan oksigen yang tidak mencukupi, tiada lagi katil kosong di hospital dan ribuan mayat juga dibakar tanpa diuruskan seperti yang sepatutnya.
Faktor perhimpunan awam secara besar-besaran seperti aktiviti berkait keagamaan, kempen politik dan majlis perkahwinan dikatakan sebagai punca kepada gelombang baharu tersebut di samping program pemvaksinan yang dipandang enteng.
Memetik kenyataan Presiden Yayasan Kesihatan Awam India iaitu Profesor K Srinath Reddy dalam wawancara bersama BBC, beliau berpendapat bahawa perasaan 'sudah menang' dan sangkaan telah mencapai keimunan kelompok adalah punca utamanya.
Persoalan utama pada ketika ini, bagaimana negara-negara lain turut sama boleh mempelajari agar pisang tidak berbuah dua kali?
Pertama, adalah penting untuk program inokulasi dipercepat agar keimunan kelompok dapat benar-benar diwujudkan.
Kedua, sementara menunggu kejayaan program inokulasi, adalah penting supaya sekatan pergerakan setempat yang ketat terus dilaksanakan, sekali gus dapat melandaikan keluk dengan kadar lebih cepat.
Sebagai contoh, ketika terdapat penularan baharu di Pasar Xinfadi Beijing pada Jun tahun lalu, ujian asid nukleik (NAT) atau ujian calitan COVID-19 telah dilakukan secara besar-besaran di bandar itu.
Lebih daripada itu, kawasan perumahan setempat dikawal ketat bagi memastikan tiada aktiviti keluar masuk dalam kalangan penduduk, sementara kesemua mereka juga diwajibkan untuk menjalankan kuarantin kendiri selama 14 hari walaupun tidak mengalami sebarang gejala.
Ketiga dan terakhir, sekiranya penjarakan fizikal sukar dilaksanakan untuk kebanyakan waktu, adalah penting agar setiap individu setidak-tidaknya memastikan pelitup muka dipakai dengan sempurna.
Jelas, kita masih mempunyai perjalanan yang panjang dalam perjuangan melawan wabak COVID-19.
Justeru, penting untuk selalu kita semat dalam diri masing-masing atas tanggungjawab yang boleh dilakukan secara individu, sekali gus memanfaatkan ruang yang dilonggarkan untuk membuat aktiviti seharian sebaik mungkin meskipun dalam keadaan serba terhad.
Lindungi diri, lindungi semua.