Kerancakan Perbelanjaan Cermin Potensi Pasaran China

2021-05-07 14:58:41  CRI
Share with:

Sebanyak 230 juta rakyat China melakukan kunjungan domestik, dengan menyumbang RMB113.2 bilion (RM72 bilion) kepada pendapatan sektor pelancongan sempena cuti Hari Pekerja bermula 1 hingga 5 Mei.

Kemakmuran pasaran pelancongan tersebut berkat kejayaan negara ini membendung penularan wabak COVID-19 dengan berkesan, sekali gus memperlihatkan pasaran perbelanjaan terus pulih.

Antara faktor yang menyumbang kepada prestasi itu juga termasuk insentif kerajaan bagi merangsang perbelanjaan, peningkatan pendapatan rakyat dan iklim perbelanjaan yang terus bertambah baik.

Perbelanjaan muncul sebagai pemacu penting kepada ekonomi China sejak beberapa tahun lalu. Pada 2013 hingga 2019, perbelanjaan menyumbang kira-kira 60 peratus kepada pertumbuhan ekonomi China.

Walau bagaimanapun, pasaran perbelanjaan negara ini masih mempunyai potensi yang besar memandangkan angka itu mencatat antara 70 hingga 80 peratus di entiti ekonomi maju.

Penaiktarafan perbelanjaan dan penyepaduan perniagaan dalam dan luar talian sudah tentu akan merangsang pasaran domestik China, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada dunia.

Dalam Ekspo Barang Pengguna Antarabangsa China (CICPE) pertama yang berlangsung di provinsi Hainan pada 7 hingga 10 Mei, ruang pameran seluas 60,000 meter persegi akan ditawarkan untuk pempamer asing, iaitu 75 peratus daripada keluasan keseluruhan ekspo tersebut.

Penganjuran ekspo itu juga satu lagi tindakan praktikal China untuk menunaikan janjinya menjadikan pasaran sendiri sebagai pasaran dunia yang dikongsi semua.

张哲