Jasa "Bapa Padi Kacukan" Dikenang Dunia

2021-05-25 13:41:49  CRI
Share with:

Jasa "Bapa Padi Kacukan"Dikenang Dunia_fororder_zz

Suasana pilu dan suram menyelubungi Mingyangshan, provinsi Hunan pada Selasa apabila ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Yuan Longping yang meninggal dunia pada usia 91 tahun, Sabtu lalu.

Kesayuan juga memayungi dunia maya saat beberapa organisasi antarabangsa termasuk PBB, pihak pemerintah negara asing serta agensi media dunia malah rata-rata warganet berturut-turut menyuarakan rasa simpati dan dukacita atas pemergian “bapa padi kacukan” itu menerusi hantaran media sosial.

Seperti yang dinyatakan mereka, padi hasil penyelidikan Yuan Longping memberi makan secukupnya kepada seluruh dunia.

Di mata mereka, Yuan benar-benar seorang perwira dengan dedikasi berterusannya dalam memastikan keselamatan makanan melibatkan berbilion-bilion populasi terjamin.

Jasa "Bapa Padi Kacukan"Dikenang Dunia_fororder_zz2

Pada 1970an, jumlah pengeluaran padi kacukan di China kira-kira 20 peratus lebih banyak berbanding jenis biasa, dengan output tambahannya mampu mengisi perut seramai 70 juta orang saban tahun.

Awal 1990an, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menjadikan padi kacukan sebagai pendekatan strategik utama diperkenalkan di negara-negara membangun yang bergelut dengan kekurangan makanan.

Dalam pada itu, Yuan dipelawa menjadi penasihat kanan antarabangsa untuk misi FAO tersebut.

Untuk rekod, pelopor penyelidikan padi kacukan itu telah melatih dan memupuk bakat dalam bidang berkenaan sehingga lebih 14,000 orang di 80 negara membangun.

Kini, teknik penanaman padi kacukan diguna pakai dengan lebih luas serata dunia hingga sampai India, Vietnam, Amerika Syarikat, Brazil malah negara-negara di benua Afrika.

Jasa Yuan Longping terhadap negara serta sumbangannya dalam membantu dunia menghapuskan kepapaan dan kemiskinan akan terus dikenang.

董筱娉