China Komited Terus Bantu Myanmar Perangi COVID-19

2021-07-23 15:22:53  CRI
Share with:

China komited terus membantu Myanmar dalam usaha menewaskan pandemik COVID-19 seawal mungkin, di samping mengelakkan penularan wabak secara rentas sempadan.

Konsul Jeneral China ke Mandalay, Chen Chen menyatakan, pihaknya akan melakukan yang terbaik untuk memperlicin kolaborasi kedua-dua negara dalam usaha tersebut.

Ketika berucap dalam sesi perkongsian pengalaman melawan COVID-19 secara maya pada Khamis, beliau berkata selepas pandemik itu membadai Myanmar, China antara yang paling awal menghulurkan tangan membantu.

Selain menyalurkan bekalan peralatan perubatan, China turut mengerahkan pasukan pakar dan membantu negara itu membina makmal ujian asid nukleik.

"Kesemua ini mencerminkan kekukuhan ikatan persahabatan Pauk-Phaw antara kedua-dua negara yang 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'," ujar Chen.

Sementara itu, wakil pihak Myanmar menzahirkan penghargaan atas bantuan disalurkan China termasuk mendirikan hospital sementara dan membekalkan vaksin serta bahan-bahan kegunaan melawan wabak.

Beliau turut menyifatkan sumbangan sejumlah besar peralatan oksigen dan produk perubatan ke kawasan utara Myanmar membantu meringankan keperluan mendesak penduduk tempatan.

梁靓