27 Forum Bakal Diadakan Sempana Ekspo China-ASEAN Ke-18

2021-07-30 13:29:09  CRI
Share with:

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) Ke-18 dijadualkan berlangsung di Nanning, Guangxi pada 10 hingga 13 September depan.

Bertemakan "berkongsi saluran dan peluang baharu di darat dan laut, membentuk komuniti berkongsi nasib China-ASEAN", ekspo dan sidang terbabit akan diadakan secara hibrid.

Naib Pengerusi Wilayah Autonomi Guangxi, Liu Hongwu berkata, beberapa ciri baharu akan ditonjolkan dalam temasya kali ini.

Menurut beliau, ia termasuk pameran khas saluran baharu di darat dan laut, pembukaan kewangan yang berorientasikan ASEAN, dan kerjasama Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macau.

Jelas Liu, akan turut diadakan adalah forum persatuan pengangkutan bersama China-ASEAN dan acara mempromosi kawasan rintis perdagangan bebas China (Guangxi).

Dalam pada itu, difahamkan sebanyak 27 forum peringkat tinggi akan dianjurkan dengan melibatkan kapasiti pengeluaran, ekonomi digital, teknologi dan pemeliharaan alam sekitar.

Naib Ketua Majlis China bagi Promosi Perdagangan Antarabangsa (CCPIT), Zhang Shaogang berkata, pada tahun ini, pihaknya telah mengundang persatuan industri dan perniagaan peringkat negara ASEAN sebagai penganjur bersama bagi melibatkan diri secara mendalam dalam forum pemimpin perniagaan antara satu sama lain.

Mengambil semangat ulang tahun ke-30 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN, para peserta menjangkakan prospek baik setelah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuatkuasa, di samping membincangkan saluran baharu di darat dan laut, serta pembukaan dan inovasi sektor kewangan.

高蕾