Anggota EAS Disarankan Bekerjasama Melawan Wabak dan Memulihkan Ekonomi

2021-08-05 13:46:12  CRI
Share with:

Anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) disarankan bekerjasama dan bertindak secara aktif bagi memberi sumbangan sewajarnya dalam usaha melawan pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

Demikian dinyatakan Anggota Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-11 yang diadakan secara maya malam semalam.

Menurut Wang Yi, memandangkan situasi pandemik yang semakin rumit, pemulihan ekonomi kurang seimbang dan banyak cabaran muncul dalam tadbir urus sejagat dan serantau, anggota EAS yang melibatkan negara pengeluar vaksin COVID-19 utama di dunia, entiti ekonomi penting Asia-Pasifik dan pemain utama bagi menghadapi perubahan iklim, dicadangkan menyemarakkan semangat saintifik dan bekerjasama untuk mengambil langkah baharu dalam usaha melawan wabak, mendorong pembangunan hijau bagi memberi asas kukuh kepada pemulihan ekonomi pasca wabak, di samping mengukuhkan kedudukan penting ASEAN dalam kerjasama Asia Timur dan memelihara kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.

Sementara itu, Wang Yi menegaskan, China akan menunaikan komitmen mengenai menjadikan vaksin COVID-19 sebagai “produk awam global” seperti mana yang dijanjikan Presiden China Xi Jinping. Setakat ini, China telah membekalkan lebih 750 juta dos vaksin kepada negara lain.

Selain itu, China menyokong cadangan Rusia mengenai merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui pemulihan industri pelancongan, bersetuju mengemaskinikan Pengisytiharan Phnom Penh Mengenai Inisiatif Pembangunan EAS dengan secepat mungkin, mengutamakan peningkatan penyelarasan dengan ASEAN yang menganjurkan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan merapatkan koordinasi dalam pelaksanaan dasar pemulihan pasca wabak.

Pada akhirnya, Wang Yi menyatakan, sebagai negara yang bertanggungjawab,  China komited bersama dengan pelbagai pihak untuk menggalakkan EAS menumpu kepada usaha melawan wabak dan pemulihan ekonomi dan memberi sumbangan baharu dalam usaha menangani pelbagai cabaran sejagat secara pantas.

高蕾