China Komited Sertai Kerjasama Vaksin Global

2021-08-06 15:23:14  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping menekankan China berpegang teguh pada konsep komuniti berkongsi kesihatan, membekalkan vaksin kepada negara luar khususnya negara membangun, di samping mempergiat kerjasama penghasilan vaksin.

Dalam perutusan kepada persidangan pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin COVID-19 pada Khamis, Xi berkata China juga akan memberi bantuan sedapat mungkin kepada negara membangun dalam perjuangan melawan wabak.

Pada masa sama, Xi turut menzahirkan harapan agar persidangan kali ini dapat mencapai perkembangan baharu termasuk memastikan agihan vaksin secara adil dan menambah tenaga penggerak baharu kepada kerjasama dan perpaduan negara membangun.

Menteri Luar China, Wang Yi ketika mempengerusikan persidangan secara maya menyatakan bahawa dunia kini masih bergelut penularan pandemik COVID-19. Masyarakat antarabangsa harus meningkatkan perpaduan untuk memenangi perjuangan melawan wabak ini.

Justeru, beliau turut mengemukakan empat cadangan antaranya mengutamakan nyawa dan mempopularkan vaksin ke seluruh dunia, mempertahankan keadilan moral, dan meningkatkan bantuan kepada negara membangun.

Selain itu, Wang menegaskan agar prinsip multilateralisme patut dijunjung, keberkesanan kerjasama antarabangsa diperkasakan, serta penyelarasan untuk membina pelbagai barisan mencegah wabak dipergiat.

Difahamkan, China akan berusaha untuk membekalkan dua bilion dos vaksin kepada seluruh dunia pada tahun ini, serta menyumbang RMB100 juta (RM65 juta) kepada Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 Global (COVAX) untuk digunakan dalam pengagihan vaksin kepada negara-negara membangun.

Wakil pelbagai negara yang menghadiri persidangan tersebut turut menyanjung peranan China dalam operasi memerangi wabak khususnya kerjasama vaksin, serta memuji usaha China menjadikan vaksin sebagai produk awam global.

Untuk rekod, penubuhan Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin COVID-19 merupakan antara cadangan Presiden Xi ketika menghadiri Sidang Kemuncak Kesihatan Global pada Mei lalu.

徐国玮