China, ASEAN Komited Menyumbang Kepada Kestabilan, Pembangunan dan Kemakmuran Serantau

2021-08-08 14:50:17  CRI
Share with:

China dan ASEAN komited memperkukuh perkongsian strategik dengan merebut peluang ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-ASEAN bagi memberi sumbangan bersama kepada kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau.

Jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai siri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asia Timur semalam.

Hua Chunying berkata, siri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asia Timur kali ini diadakan dalam suasana positif. Pihak-pihak terbabit memberikan penghargaan yang tinggi kepada kemajuan positif yang tercapai dalam hubungan China-ASEAN.

Mengenai isu usaha sama bagi melawan pandemik COVID-19, Hua berkata, banyak negara ASEAN pada masyuarat kali ini menyahut seruan China dengan menyatakan bahawa usaha mengesan asal-usul COVID-19 merupakan isu saintifik yang perlu dilakukan dengan sikap saksama dan teliti dan mereka menolak kegiatan manipulasi politik dalam isu tersebut.

Menurut Hua, Menteri Luar China Wang Yi dalam ucapannya menyarankan agar usaha pencarian asal-usul COVID-19 peringkat lanjutan perlu dijalankan di negara dan kawasan yang paling awal mengesan virus tersebut. Sains tidak boleh dipolitikkan, virus tidak boleh dilabelkan dan pencarian asal-usul COVID-19 tidak boleh diperalatkan.  Para peserta dalam siri mesyuarat menteri-menteri luar kali ini telah mencapai kata sepakat mengenai isu kerjasama vaksin dan pencarian asal-usul COVID-19 secara saintifik, sekali gus memberi isyarat positif dan menyuntik tenaga baharu kepada kerjasama dalam usaha melawan wabak. 

Sementara itu, pada mesyuarat kali ini, China komited bekerjasama dengan ASEAN untuk membina paradigma baharu pemulihan kerjasama kedua-dua pihak secara komprehensif dengan pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF), memperkasa kerjasama perdagangan dan pelaburan, menjadikan ekonomi digital dan pembangunan hijau sebagai titik pertumbuhan baharu. Menteri Luar China Wang Yi buat pertama kalinya menyatakan, China bersedia membincangkan dan menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama pembangunan antarabangsa dengan ASEAN, dan sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan institusi kerjasama pembangunan di ASEAN.

Menurut Hua Chunying, menteri-menteri luar ASEAN menyanjung tinggi kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan dan rundingan mengenai pembentukan Kod Tatalaku di Laut China Selatan. Fakta telah membuktikan bahawa China dan ASEAN berkongsi fahaman dan aspirasi yang sama dalam isu Laut China Selatan selain berharap agar menyelesaikan perselisihan melalui rundingan dan memperkasa kerjasama secara aktif. Kebanyakan negara menolak gangguan kuasa dari luar rantau ini.

Di samping itu, menteri luar dari banyak negara bersetuju dengan pandangan China mengenai amalan multilateralisme perlu dipertahankan dan kedudukan penting ASEAN dalam kerjasama serantau diperkukuh, dan mengelakkan munculnya konfrontasi geopolitik dan pemecahbelahan.  Selain itu, para perserta juga menolak terpaksa menyebelahi mana-mana pihak dan menjadikan rantau ini sebagai padang pergelutan kuasa besar.

曹捷