


Sekumpulan gajah liar Asia yang melakukan pengembaraan di Yunnan selama 110 hari kini dalam perjalanan pulang ke habitat asal di Pu'er, selatan wilayah itu.
Kesemua 14 ekor gajah dirakam sudah menyeberangi Sungai Yuan pada Ahad selepas mengembara sejauh 1,300 kilometer melalui tiga bandar dan lapan kaunti sejak 16 April.
Sepanjang perjalanan kawanan mamalia itu, tiada sebarang kes kematian dan kecederaan manusia dilaporkan susulan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan.
Setakat 8 Ogos, lebih 25 ribu anggota polis dan petugas dikerah untuk memantau pergerakan kawanan gajah tersebut, selain turut menerbangkan 973 dron serta menempatkan 15 ribu kenderaan bagi menghadapi sebarang insiden kecemasan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih 150 ribu penduduk telah dipindahkan ke kawasan lain bagi tujuan keselamatan, manakala sebanyak 180 tan makanan turut disediakan kepada kumpulan gajah tersebut.
Selain itu, 13 pakar dari Pusat Penyelidikan Gajah Asia Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput Negara, Institut Zoologi Kunming, Universiti Yunnan, Universiti Perhutanan Beijing dan jabatan lain turut memberikan panduan saintifik dan sokongan teknikal sepanjang pengembaraan gajah tersebut.
Pihak berkuasa tempatan akan mendokumentasikan pengalaman mengendalikan keadaan itu untuk rujukan di masa depan.