Zhu Ting, Jaguh Bola Tampar China

2021-08-26 17:07:20  CRI
Share with:

Zhu Ting ialah ketua pasukan bola tampar wanita kebangsaan China dan beliau juga dipilih menjadi pembawa bendera dalam kontinjen China sempena Sukan Olimpik Tokyo yang baru berakhir.

Zhu Ting dilahirkan di sebuah kampung di pinggir Zhoukou, provinsi Henan di tengah China. Beliau ialah anak ketiga dalam lima beradik. 

Ketika Zhu Ting berumur 13 tahun, tingginya sudah mencapai 170 sentimeter. Bapanya ingin memujuk Zhu Ting berhenti sekolah untuk mencari rezeki di bandar supaya dapat meringankan beban keluarganya.

Pada suatu hari, bapanya menyampaikan kehendak tersebut kepada Zhu Ting. Namun, Zhu Ting menjawab, "Saya tak mahu bekerja seperti kakak saya, saya mahu belajar. Saya mahu masuk universiti di Beijing."

Dengan berkata demikian, Zhu Ting menggalas begnya dan terus keluar dari rumah. Bapanya marah dan mengejar Zhu Ting ke sekolah.

Sebaik sahaja masuk pintu sekolah, bapanya berjumpa dengan seorang lelaki pertengahan umur yang berkelakuan sopan santun. Itulah guru Zhu Ting, encik Zhang Xinyi.

Setelah diberitahu kehendak bapa Zhu, Zhang menasihati beliau bahawa pendidikan wajib sembilan tahun adalah dasar negara. Ibu bapa wajib untuk menghantar anak mereka ke sekolah untuk menamatkan pelajaran selama sembilan tahun itu.

Dengan demikian, bapa Zhu menerima nasihat guru Zhang tersebut dan Zhu Ting dapat meneruskan pelajarannya.

Dua tahun kemudian, Zhu Ting akan tamat sekolah menengah rendah. Setiap pelajar ditanya tentang pelan mereka selepas tamat.

Zhu Ting tak tahu apa yang boleh buat, lalu meminta pandangan daripada gurunya Zhang Xinyi. Zhang mengesyorkan Zhu Ting boleh cuba menjadi seorang atlet profesional, maka beliau membawa Zhu Ting ke Sekolah Sukan Bandar Zhoukou. Selepas mengikuti beberapa ujian seperti lompat tinggi dan jauh, guru di sekolah itu, Xia Luhai menganggap Zhu Ting mempunyai bakat dan boleh menjadi seorang pemain bola tampar yang unggul, lalu menerima Zhu Ting sebagai pelajar di sekolah sukan itu.

Dalam setahun berikutnya, Zhu Ting tinggal di Sekolah Sukan Bandar Zhoukou dan melakukan latihan berintensiti tinggi setiap hari. Oleh sebab mempunyai kecergasan fizikal yang baik dan berlatih bersungguh-sungguh, prestasi Zhu Ting sangat cemerlang. Ketika melihat Zhu Ting begitu unggul, bapanya tidak lagi menyebut tentang mencai rezeki di bandar.

Pada musim panas setahun kemudian, Zhu Ting diterima masuk ke Sekolah Sukan Provinsi Henan. Yuran pengajiannya sebanyak 30,000 yuan setahun amat merisaukan bapanya. Selepas mengetahui yuan ini boleh dibayar beberapa kali, bapanya berasa lega.

Namun pada malam itu, Zhu Ting memberitahu bapanya bahawa dia tidak mahu mengikuti latihan di sekolah sukan provinsi kerana yurannya yang tinggi. Namun bapanya memberitahu Zhu Ting bahawa selepas mengenali guru Zhang dan guru Xia, beliau memahami bahawa anak mesti menguasai kemahiran sendiri.

Selepas itu, Zhu Ting mula mengikuti latihan bola tampar di Sekolah Sukan Provinsi Henan. Jurulatihnya Liu Hong menetapkan piawaian yang lebih tinggi untuk Zhu Ting kerana dia lebih berbakat. Zhu Ting melakukan latihan berintensiti tinggi setiap hari, melompat, menampar bola, jatuh, dan berguling hingga ratusan kali sehari.

Pada suatu hari, bapanya menerima panggilan telefon Zhu Ting yang memberitahu dia tidak mahu meneruskan lagi latihan sebab terlalu susah dan menyakitkan. Bapanya memujuknya untuk bertahan.

Untuk membayar yuran sekolah untuk Zhu Ting, bapanya membuka sebuah kedai membaiki kenderaan seperti traktor dan mesin pertanian. Pada suatu hari, bapanya tercedera pada pinggang apabila sebuah mesin pertanian berat terjatuh. Keluarganya berhutang ratusan ribu yuan untuk membayar belanja pembedahan bapa Zhu. Mereka tidak memberitahu perkara tersebut kepada Zhu Ting kerana tidak mahu latihanya terganggu.

Pada suatu hari, Zhu Ting balik ke rumah. Apabila melihat bapanya terbaring di atas katil, Zhu Ting terkejut. Sebenarnya Zhu Ting berlari dari sekolah sukan kerana tidak dapat menahan latihan berintensiti tinggi itu.

Zhu Ting menangis dengan kuat. Setelah menangis, dia berkata dengan bapanya: "Ayah! Sekiranya saya tidak dapat memasuki pasukan provinsi, saya bukan anak keluarga Zhu!"

Zhu Ting kembali ke sekolah sukan dan berlatih lebih gigih di bawah bimbingan jurulatih Liu Hong. Dua tahun kemudian, Zhu Ting terpilih menjadi anggota pasukan provinsi kerana prestasinya yang cemerlang. Sejak itu, keluarga Zhu tidak lagi perlu membayar yuran untuk Zhu Ting, sebaliknya Zhu Ting dapat memperoleh elaun bulanan. Zhu Ting menyimpan elaun itu, dan menghantarnya kepada ibu bapa.

Kemudian, Zhu Ting ditemukan oleh jurulatih bola tampar wanita China yang terkenal, Lang Ping, dan diterima masuk ke pasukan bola tampar wanita kebangsaan China.

Pada tahun 2016, Zhu Ting dan rakan sepasukannya mewakili China bertanding dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 di Brazil dan berjaya merangkul pingat emas.

覃淼