Liku-liku Meniti Kejayaan, Impian Zheng Tao Tergapai

2021-09-03 11:39:18  CRI
Share with:

Liku-liku Meniti Kejayaan, Impian Zheng Tao Tergapai_fororder_1127803291_16301114086701n

Impian atlet China, Zheng Tao untuk bertanding di pentas Olimpik seterusnya meraih pingat emas akhirnya tercapai di bumi Jepun.

Zheng menampilkan aksi cemerlang di kolam renang apabila mencipta rekod dunia baharu menerusi acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki S5 dengan catatan masa 30.62 saat pada Sukan Paralimpik Tokyo, 27 Ogos.

Meskipun berjaya membutirkan dua pingat di Olimpik London dan Rio, namun Zheng berazam untuk mengakhiri penantian kilauan emas pertama di Sukan Olimpik.

Liku-liku Meniti Kejayaan, Impian Zheng Tao Tergapai_fororder_1127803291_16301114277741n

Di Pusat Akuatik Tokyo, dia membuktikan kehadirannya bukan sekadar pelengkap acara apabila mengungguli kategori S5 sekali gus membawa pulang emas yang diidam-idamkan.

Bila dapat berdiri di atas podium dengan memegang pingat emas, ia adalah satu kebanggaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata buat juara berusia 31 tahun itu.

Selepas beraksi di pentas Rio pada 2016, perenang veteran itu terus kekal fokus dan menjalani latihan intensif terutamanya berenang sejauh 10,000 meter setiap hari.

Segala penat lelah kini terbalas apabila melihat impian yang dipasangnya sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.

Di sebalik kilauan emas, sebenarnya ada jalan yang berliku-liku.

Dilahirkan di wilayah Yunnan di barat daya China pada 1990, Zheng seorang yang ceria dan mempunyai zaman kanak-kanak yang menggembirakan.

Detik-detik bermain air dan menangkap ikan bersama kawan-kawan merupakan satu kenangan indah yang tidak dapat dilupakannya.

Setiap kali penyertaan dalam pertandingan berenang juga mencanai bakatnya dalam bidang renang.

Namun, segalanya berubah semenjak dia ditimpa malang pada usia tujuh tahun.

Tragedi berlaku apabila Zheng terkena kejutan elektrik akibat tersentuh wayar hidup kerana badan basah kuyup selepas bermain air di anak sungai bersama kawan.

Keadaan si kecil itu bertambah teruk dan nyawanya makin terancam, yang turut menyebabkannya terpaksa menjalani amputasi lengan.

Kehidupan normal dahulu, berubah dalam sekelip mata. Setelah kehilangan kedua-dua belah lengan, Zheng berkurung di rumah dan menjadi stres, murung dan hilang keyakinan diri.

Untuk rawatan lanjut, ibu bapa Zheng kehabisan wang sehingga terpaksa berhutang, dan Zheng sendiri juga tercicir dari sekolah.

Namun, ibu bapa mana yang tidak berbangga apabila anaknya yang pernah mengalami trauma secara fizikal dan mental dulu, kini menjadi penyumbang emas kepada negara pada Sukan Paralimpik Tokyo.

Secebis bantuan, sebesar harapan. Pertolongan yang disalurkan Persekutuan Orang Kelainan Upaya Yunnan (YDPF) membawa sinar kepada kehidupan keluarga Zheng.

Dengan bantuan YDPF, Zheng beransur-ansur membangkitkan kembali semangat hidup dan mulai melatih kemahiran seperti makan dan cuci muka menggunakan kaki.

Suatu hari pada 2004, dia diberitahu oleh setiausaha jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) di kampungnya bahawa terdapat peluang untuk menganggotai pasukan renang tempatan.

Bagaimanapun, jemputan itu terus ditolak ibu bapa dengan alasan latihan berenang susah sekali bagi anak mereka yang kehilangan lengan.

“Asalkan ada sesuap nasi, anak kami takkan kelaparan, tak payahlah jadi perenang. Kami tak mahu melihat dia menderita lagi,” kata ibu bapa.

Zheng sendiri tidak mahu terlepas peluang baik itu dengan mengatakan, "Bersusah payah tak mengapa, ia lebih baik daripada insan yang tidak berguna. Saya mahu cuba!”

Mendengar jawapan anak, ibu diam-diam sahaja.

Pada malam itu, seisi keluarga Zheng makan bersama dengan banyak lauk-pauk lazat yang disajikan pada meja.

Pada musim panas tahun itu, Zheng yang berusia 14 tahun memulakan perjuangan sebagai seorang atlet renang.

Berenang memang merupakan satu aktiviti riadah yang diminati ramai. Tetapi, ia bukanlah semudah yang disangka jika menjadikannya satu kerjaya.

Acara sukan itu pastinya lebih mencabar bagi Zheng yang tidak mempunyai lengan.

Mula-mula menjalankan latihan, Zheng sering tercekik air kerana sukar untuk menjaga keseimbangan badan di dalam air.

Untuk menyelesaikan program latihan yang dirancang, Zheng sanggup menjalankan latihan renang selama 8 hingga 9 jam sehari.

Terlalu lama berada di dalam air menyebabkan luka pembedahannya mengalami jangkitan kuman. Namun, sebaik sahaja disapu ubat oleh doktor, dia terus turun ke kolam renang untuk berlatih.

Setiap titisan keringat yang dicurahkannya tidak menjadi sia-sia. Zheng semakin mahir dengan teknik berenang, dan kelajuannya juga setanding dengan atlet sepasukan yang berenang menggunakan lengan.

Beberapa bulan kemudian, ibu bapa yang datang mengunjungi Zheng terkejut melihat kepandaiannya berenang dengan begitu laju.

Air mata mereka bergenangan kerana terlalu terharu, dan juga pilu hati memikirkan betapa banyaknya kesulitan yang terpaksa diharungi anak.

Berbekalkan kegigihan dan kecekalan, Zheng terus meniti kejayaan melayakkan diri ke pentas Sukan Paralimpik.

Dia menunjukkan prestasi membanggakan apabila muncul sebagai juara dalam acara renang 100 meter kuak lentang lelaki S6 pada Paralimpik 2012 dan 2016 serta acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki S5 Paralimpik 2020 di Tokyo.

Zheng memperoleh penghormatan orang ramai bukan sahaja kerana gelaran juara, tetapi juga semangatnya untuk mengejar impian dan maju mendahului diri sendiri hingga tampil lebih cemerlang.

张哲