Kempen Produk Afrika Dilancarkan, Beri Manfaat Petani Afrika dan Pengguna China

2021-09-07 13:51:06  CRI
Share with:

Dua kempen mempromosi produk Afrika iaitu Musim Promosi E-Dagang Produk Afrika dan Musim Penstriming Khas Afrika secara rasminya membuka tirai di sini, pada Isnin.

Difahamkan, kedua-dua kempen inisiatif Forum Kerjasama China-Afrika 2021 itu dijadual akan berlangsung selama tiga bulan secara dalam talian.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Afrika Kementerian Luar China, Wu Peng, China tidak menyasarkan untuk mendapat keuntungan dagangan dalam kerjasama dengan Afrika.

Ketika berucap sempena perasmian kempen tersebut, beliau sebaliknya menyatakan bahawa China ikhlas berharap untuk mempertingkat import dan berkongsi hasil pembangunan dengan Afrika.

Sebagai enjin transformasi digital sosioekonomi dan peningkatan penggunaan antara satu sama lain, e-dagang akan membantu Afrika membuka pasaran China.

Jelas Wu, kempen berkenaan akan mempermudah pengguna China untuk membeli produk Afrika dengan harga yang lebih kompetitif.

Promosi yang disifatkan kerjasama menang-menang itu telah menjunjung tinggi semangat saling untung dalam kerjasama pragmatik.

"Sebagai contoh, kempen Musim Penstriming Khas pada edisi kali ini akan menyaksikan buah-buahan seperti sitrus dan avokado serta kopi dan cili kering dapat terus dihantar kepada pengguna melalui e-dagang.

"Dengan itu, petani Afrika mendapat manfaat dan mengatasi kesukaran yang dihadapi akibat penularan wabak COVID-19," kata Wu lagi.

Sementara itu, Ketua Delegasi Afrika ke China, Martin Mpana menyifatkan kedua-dua kempen tersebut sebagai langkah penting dalam penyelarasan perdagangan bilateral selain menggalakkan eksport Afrika ke China.

Justeru, beliau yang juga merangkap Duta Besar Cameroon ke China itu menzahirkan harapan agar Afrika dapat memanfaatkan peluang pembangunan e-dagang tersebut.

Untuk rekod, ekonomi dan perdagangan bilateral antara China dan Afrika memperlihatkan pemulihan ketara pada tahun ini.

Pada Januari hingga Julai, jumlah perdagangan merekodkan USD139.1 bilion (RM576.3 bilion), meningkat 42 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Manakala, pasaran China pula terus dibuka untuk Afrika dengan nilai import produk pertanian dari Afrika pada tahun 2020 meningkat 4.6 peratus.

高蕾