China, Tajikistan Komited Pacu Kerjasama

2021-09-08 10:58:58  CRI
Share with:

China bersedia berusaha bersama dengan Tajikistan bagi membentuk komuniti pembangunan yang konotatif dan komuniti keselamatan yang kukuh.

Kedua-dua negara diharap bersatu tenaga untuk memelihara kepentingan bersama, dan menggalakkan kedamaian dan pembangunan serantau.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Tajikistan, Emomali Rahmon pada Selasa.

Beliau menyarankan supaya kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi memacu kerjasama bilateral dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan, kesalinghubungan, ekonomi digital dan lain-lain.

Dalam pada itu, Xi merakamkan ucapan tahniah kepada Tajikistan yang menyambut ulang tahun ke-30 kemerdekaannya pada tahun ini.

Beliau juga memberi penghargaan tinggi terhadap usaha yang dilakukan Tajikistan sejak menyandang negara pengerusi bergilir Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), di samping menyatakan sokongan kepada penganjuran sidang kemuncak memperingati ulang tahun ke-20 SCO.

Emomali Rahmon pula merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan ikhlas yang diberikan China selama ini, khususnya sumbangan vaksin COVID-19 dihulurkan tepat pada waktunya.

Beliau menzahirkan komitmen Tajikistan untuk memperkasakan kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi dan perdagangan, keselamatan dan sosiobudaya bagi memberi konotasi baharu kepada perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

张哲