China Sokong Afghanistan dalam Pembinaan Semula dan Pembangunan Ekonomi

2021-09-14 11:27:00  CRI
Share with:

China bersedia berdasarkan kemampuan negara sendiri menyokong Afghanistan dalam pembinaan semula secara damai dan pembangunan ekonomi.

Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian pada sidang media semalam susulan seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres supaya masyarakat antarabangsa menyuntik modal terhadap negara itu.

Menurut Zhao, ketika menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Negara Jiran Pertama Afghanistan, Menteri Luar China Wang Yi telah mengumumkan akan menghulurkan bantuan bernilai RMB200 juta (RM129 juta), termasuk makanan, barangan untuk musim sejuk, vaksin dan ubat-ubatan kepada rakyat Afghanistan. Apabila isu keamanan dipastikan terjamin, China bersedia membantu Afghanistan melaksanakan projek membaiki hidup rakyat, di samping sedaya upaya menyokong negara berkenaan dalam pembinaan semula secara damai dan pembangunan ekonomi.

Komitmen itu mencerminkan diplomasi persahabatan China yang sejak sekian lama menyasarkan kepentingan segala rakyat Afghanistan, dan juga memperlihatkan budaya tradisional Cina yang berunsurkan 'orang lapar diberi nasi, orang haus diberi air'.

Kata beliau pula, sebagai pencetus pergolakan Afghanistan, Amerika Syarikat semestinya menunaikan janjinya, memikul tanggungjawab dan kewajipan, dan giat mengambil tindakan yang wajar untuk meringankan bebanan ekonomi tempatan dengan prasyarat menghormati kedaulatan Afghanistan.

高蕾