China Seru AS Fahami Dasar Domestik dan Luarnya

2021-10-07 13:51:27  CRI
Share with:

Hubungan China-Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai bukan sahaja berkait rapat dengan kepentingan asas rakyat di kedua-dua negara, malah turut melibatkan masa depan seluruh dunia.

Demikian ujar Anggota Biro Politik Pusat Parti Komunis China (PKC), Yang Jiechi  ketika mengadakan pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Jake Sullivan di Zurich, Switzerland pada Rabu.

"Apabila  China dan AS bekerjasama, maka kedua-dua negara serta seluruh dunia akan turut merasa manfaatnya.

"Manakala, sekiranya kedua-dua negara itu saling berkonfrontasi pula, seluruh dunia akan terjejas dengan teruk," jelas beliau yang juga merangkap Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Negara PKC.

Sehubungan itu, Yang berkata bahawa AS perlu mempunyai kefahaman mendalam tentang situasi manfaat bersama di dalam hubungan China-AS, selain memahami dasar domestik dan luar serta objektif strategik pihak China.

Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa China turut menentang pendapat yang menyifatkan hubungan China-AS sebagai "bersaing".

Difahamkan, kedua-dua pihak menggunakan kesempatan tersebut untuk bertukar-tukar pandangan secara menyeluruh, terbuka dan mendalam tentang hubungan bilateral, serta isu umum  di peringkat antarabangsa dan rantau.

Selain itu, pertemuan tersebut juga dianggap bersifat membina yang bermanfaat dalam meningkatkan persefahaman kedua-dua pihak.

Untuk rekod, bagi mengambil semangat persetujuan yang tercapai semasa dialog pemimpin China-AS pada 10 September lalu, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan tindakan pragmatik supaya interaksi strategi dipertingkat, perselisihan dikawal baik, mengelak daripada berlakunya konflik dan mengejar situasi menang-menang.

Dalam perkembangan lain, Yang juga menegaskan bahawa China memandang serius pendapat positif Presiden Joe Biden mengenai hubungan China-AS dan berharap agar AS dapat menjalankan dasar yang rasional serta pragmatik terhadap China, dan menghormati kepentingan masing-masing.

Terdahulu, Biden menyatakan AS tidak berniat menyekat pembangunan China mahupun mencetuskan “Perang Dingin Baharu”.

Antara penerangan lain dilakukan oleh Yang adalah termasuk pendirian keras China dalam isu melibatkan Taiwan, Hong Kong, Xinjiang, Tibet, Laut China Selatan dan hak asasi manusia, di samping meminta AS menghentikan perbuatan mencampur tangan urusan dalaman China.

Mewakili AS, Sullivan pula turut mengambil peluang dengan menyatakan pendirian pihaknya yang tidak berganjak untuk mahu mengekalkan dasar 'Satu China'.

张宪