Hubungan China, Jepun Orak Langkah ke Era Baharu

2021-10-09 13:39:24  CRI
Share with:

Hubungan China, Jepun Orak Langkah ke Era Baharu_fororder_1633728573879_935_1080x642

China bersedia memperkasakan dialog dan kerjasama dengan Jepun bagi membentuk hubungan bilateral yang selaras dengan era baharu.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dalam perbualan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menerusi telefon pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kishida juga menganggap bahawa hubungan kedua-dua negara sedang mengorak langkah ke era baharu.

Perbualan berkenaan yang diadakan tepat pada waktunya, membawa makna signifikan kepada hubungan China-Jepun.

Perkembangan hubungan antara kedua-dua negara dijangka bakal menyaksikan peluang penting sempena ulang tahun ke-50 pemulihan hubungan China-Jepun pada tahun depan.

Pada masa sama, ia juga mendepani cabaran daripada kecenderungan haluan kanan politik Jepun serta gangguan Amerika Syarikat (AS).

Bagaimana merebut peluang dan merungkai cabaran, hal ini bukan sahaja berkaitan dengan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, tetapi juga bersangkut paut dengan kedamaian dan pembangunan Asia, malah dunia.

Sehubungan itu, Presiden Xi dalam perbualan dengan Kishida menegaskan bahawa prinsip empat dokumen politik China-Jepun perlu dipertahankan bagi mengendalikan percanggahan dengan baik dan memegang hala tuju betul hubungan dua hala.

Beliau menyarankan supaya kedua-dua negara mengamalkan multilateralisme sebenar, menggalakkan kerjasama serantau, dan menyepadukan usaha bagi merungkai cabaran global, serta menjaga keamanan, kestabilan dan pembangunan dunia.

Saranan tersebut telah menjelaskan hala tuju perkembangan hubungan China-Jepun yang sejajar dengan tuntutan era baharu.

董筱娉