Negara BRI Sasar Pembekalan Tenaga Lebih Hijau, Inklusif

2021-10-19 14:25:38  CRI
Share with:

Usaha membentuk rangkaian perkongsian lebih rapat menuju prospek tenaga yang lebih hijau dan inklusif antara objektif utama Persidangan Menteri-menteri Tenaga Jalur dan Laluan kedua yang berlangsung di Qingdao, bermula Isnin.

Menteri tenaga dan wakil kanan dari 28 negara, diplomat asing dari 18 negara dan wakil sembilan pertubuhan antarabangsa berkumpul secara hibrid untuk sesi perbincangan selama dua hari yang memfokuskan kepada sinergi dalam pengendalian transformasi tenaga dan cabaran keselamatan tenaga.

Naib Perdana Menteri China, Han Zheng ketika berucap pada persidangan itu menekankan peri pentingnya pembekalan tenaga di negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) didorong ke arah lebih cekap, bersih dan multi-dimensi.

Beliau turut mengetengahkan beberapa cadangan untuk merealisasikan matlamat tersebut, termasuk perlunya sinergi untuk menggerakkan transformasi tenaga ke arah hijau dan rendah karbon.

“Kolaborasi membabitkan kuasa nuklear, tenaga pintar dan penjanaan elektrik menggunakan tenaga boleh baharu perlu dipergiatkan bagi memastikan kehijauan Laluan Sutera,” kata Han.

Pada masa sama, beliau berpandangan bahawa usaha membangunkan dan mengaplikasikan teknologi tenaga bersih harus dipertingkat.            

Menyentuh kelestarian tenaga, Han mengesyorkan agar kerjasama dalam kebolehaksesan tenaga diperkukuh demi membantu negara membangun meningkatkan kemampuan mereka menjamin keselamatan tenaga.

Demi keterangkuman tenaga, beliau turut merayu supaya hak-hak negara dalam memilih strategi pembangunan tenaga dapat dihormati.

Difahamkan, Inisiatif Qingdao disiarkan sepanjang sesi perbincangan berkenaan, dengan menggariskan pelan bagi menggerakkan kerjasama tenaga hijau di bawah BRI.

Pihak-pihak terlibat diseru bertindak secara bersepadu untuk menyokong negara membangun mengembangkan tenaga hijau dan rendah karbon.

Dalam pada itu, sebuah skema bervisi besar perlu digubal bagi menambah baik ketahanan pembekalan tenaga hijau, di samping mencipta suasana pelaburan kondusif dalam sektor berkenaan.

董筱娉