Canton Fair Ke-130 Labuh Tirai

2021-10-21 16:02:05  CRI
Share with:

Ekspo Import dan Eksport China ke-130 atau dikenali sebagai Canton Fair melabuhkan tirainya pada Selasa.

Ekspo yang berlangsung secara hibrid itu menarik kunjungan 600,000 orang secara fizikal, sementara disertai peniaga dari 228 negara dan wilayah dalam talian.

Jurucakapnya, Xu Bing berkata platform ekspo dalam talian menerima jumlah layaran sebanyak 32.7 juta secara kumulatif, manakala penstriman langsung yang dianjurkan syarikat pempamer pula mendapat tontonan lebih 350,000 orang.

“Canton Fair membantu menstabilkan rantaian bekalan dan perindustrian global, sekali gus menyediakan peluang penting kepada peniaga untuk membeli barangan yang dikehendaki,” jelas beliau.

Difahamkan, lebih 2.87 juta jenis produk yang dibawa 26,000 syarikat telah dipamerkan secara maya dalam ekspo kali ini.

Antaranya produk terkini, berteknologi pintar dan yang mempunyai hak harta intelek sendiri adalah lebih banyak berbanding ekspo sebelum ini.

“Makin banyak syarikat China komited melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi teknologi secara bermandiri.

"Canton Fair menjadi platform untuk mereka mempromosikan jenama dan produk baharu masing-masing," katanya.

Tambah beliau, Canton Fair memainkan peranan penting dalam menggalakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antarabangsa, serta pemulihan ekonomi dunia.

Ekspo itu juga turut menyumbang kepada perkembangan perdagangan yang berkualiti tinggi dan pembentukan paradigma pembangunan baharu.

张哲