Wang Yi Bertemu TPM Interim Afghanistan

2021-10-26 13:31:19  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Interim Afghanistan, Mullah Abdul Ghani Baradar ketika berada di Qatar, pada Isnin.

Dalam pertemuan itu, Wang menyatakan bahawa Afghanistan sedang berada dalam masa genting untuk menstabilkan masyarakat sambil menghadapi cabaran berkaitan isu kemanusiaan, ekonomi, antikeganasan dan tadbir urus negara.

Menurutnya, China sentiasa menghormati kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Afghanistan, menyokong rakyatnya membuat keputusan untuk menentukan nasib negara dan memilih jalan pembangunan secara sendiri.

"China tidak pernah mencampuri urusan dalaman Afghanistan, tidak mahu memperolehi sebarang keuntungan dan juga tidak cuba memperluas pengaruh sendiri di kawasan itu.

"China memberikan perhatian besar kepada kesukaran kemanusiaan yang dihadapi Afghanistan, menggesa Amerika Syarikat dan negara Barat membatalkan sekatan dan menyeru agar pelbagai pihak berurusan dengan Taliban dengan rasional dan pragmatik untuk membantu mereka berkembang ke arah yang baik," ujar Wang lagi.

Tambah beliau, China juga bersedia menghulurkan bantuan barangan kepada Afghanistan dan bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa membantu negara itu mengatasi kesukaran sehingga ia mampu mewujudkan pembangunan semula.

Pada masa sama, Wang menekankan bahawa Gerakan Islam Turkestan Timur (GITT) adalah pertubuhan keganasan antarabangsa yang disenaraikan Majlis Keselamatan PBB (UNSC), yang mengancam keselamatan negara dan keutuhan wilayah China serta mampu menjejaskan keamanan Afghanistan.

Justeru, China berharap dan yakin Taliban akan mengambil tindakan yang berkesan untuk memerangi secara tegas terhadap semua pertubuhan keganasan termasuk GITT.

Dalam pada itu, Baradar pula melaporkan tentang situasi terkini negaranya dan menzahirkan penghargaan Taliban terhadap keprihatinan China tentang isu keselamatan.

Beliau turut memberi jaminan untuk menunaikan janjinya dan tidak akan mengizinkan sebarang pihak atau kuasa yang mahu menjejaskan China di wilayahnya.

曹捷