Si Talam Dua Muka, Jangan Degil Lampaui Batas

2021-10-28 17:05:42  CRI
Share with:

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken pada Selasa menyatakan sokongannya terhadap penyertaan Taiwan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehari selepas China memperingati ulang tahun ke-50 pemulihan kerusi keanggotaannya di organisasi antarabangsa itu.

Niat jahat AS terbongkar apabila negara itu memilih hari yang penuh bererti tersebut untuk mencanangkan isu Taiwan menganggotai PBB. Tingkah lakunya sengaja mencabar prinsip “satu China”, dan sudah melampaui batas.

Washington pernah berjanji kepada Beijing bahawa ia tidak akan mengubah dasar “satu China” ketika perbualan ketua negara dilangsungkan menerusi panggilan pada September.

Apabila pertemuan empat mata antara pegawai peringkat tinggi dua negara di Zurich, Switzerland sebulan kemudian, AS konsisten dengan pendirian seumpama.

Janji belum ditunaikan, namun negara itu mula main talam dua muka dengan terang-terangan menciptakan ruang lebih besar di PBB demi kemasukan Taiwan.

Hanya negara berdaulat yang diizinkan menganggotai PBB. Konsensus antarabangsa bahawa kerajaan Republik Rakyat China merupakan satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh negara ini dan Taiwan sebahagian wilayah China.

Perbuatan AS menggembar-gemburkan kehadiran Taiwan di PBB atas nama demokrasi, benar-benar taktik mengacau dan mengelirukan khalayak.

Isu Taiwan adalah isu politik, bukan mengenai konsep nilai. Resolusi 2758 yang diluluskan Perhimpunan Agung PBB pada 1971 sudah menentusahkan hak perwakilan China di PBB.

Dengan memainkan isu Taiwan, jelas sekali bahawa AS ingin mengekang China, dan mengada-adakan situasi “satu China, satu Taiwan” di persada dunia.

Beijing konsisten dengan pendirian bahawa isu Taiwan merupakan kepentingan terasnya dan prinsip “satu China” tidak boleh dicemar. AS perlu segera membetulkan kesilapan, dan berhenti bertindak melampaui batas.

董筱娉