China, Pembela Multilateralisme Sebenar

2021-10-28 16:20:58  CRI
Share with:

Mutakhir ini, Presiden Xi Jinping mengulangi seruan supaya dunia berdiri teguh mempertahankan kewibawaan dan kedudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta mengamalkan multilateralisme sebenar.

Sempena sidang memperingati ulang tahun ke-50 pemulihan kerusi keanggotaan sah Republik Rakyat China di PBB pada Isnin, beliau menegaskan bahawa China akan terus komited menempuh jalan multilateralisme dan berperanan sebagai pembela orde antarabangsa.

Sepanjang lima dekad lalu, China sentiasa mengoptimumkan peranannya melalui kerangka multilateral berteraskan PBB untuk mengendalikan isu-isu seperti wabak COVID-19, perubahan iklim, pemulihan ekonomi dan ketidakseimbangan pembangunan global.

Bagaimanapun, peranan China di pentas antarabangsa dipersoalkan sesetengah kuasa Barat yang memegang mentaliti Perang Dingin.

Mereka melemparkan tohmahan tidak berasas dengan mendakwa China mahu mewujudkan "peraturan baharu" dan "sistem baharu".

Padahal, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), visi komuniti berkongsi nasib sesama insan dan Inisiatif Pembangunan Global yang dikemukakan China adalah untuk melengkapkan mekanisme multilateral sedia ada, meningkatkan kecekapan tadbir urus global serta menggerakkan orde ekonomi dunia ke arah lebih adil dan munasabah.

梁靓