Pacu Pembangunan Asia Timur Menerusi Multilateralisme

2021-10-30 15:45:44  CRI
Share with:

Dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-16 yang diadakan baru-baru ini, China mengemukakan saranan supaya negara serantau berganding bahu menangani pandemik COVID-19, menjana pemulihan ekonomi secara menyeluruh, memacu pembangunan hijau dan menyokong kedudukan ASEAN.

Saranan tersebut sekali lagi memperlihatkan komitmen China untuk mengamalkan multilateralisme sebenar menerusi tindakan praktikal.

Mutakhir ini, Presiden Xi Jinping mengemukakan Inisiatif Pembangunan Global bagi memacu pembangunan yang kukuh, hijau dan sihat ke arah  membentuk komuniti pembangunan sejagat.

Dalam EAS kali ini pula, China mengesyorkan supaya usaha memerangi pandemik dan memulihkan ekonomi dilakukan serentak bagi menjana pembangunan mampan global.

Semangat komuniti berkongsi nasib China-ASEAN disemarakkan apabila kedua-dua pihak berganding bahu dan saling membantu dalam melawan wabak. Selain menyumbang vaksin COVID-19 kepada negara-negara ASEAN, China juga menyokong usaha ASEAN membina pusat pengeluaran dan pengagihan vaksin.

Walaupun mendepani impak akibat pandemik, namun ASEAN muncul sebagai rakan dagang terbesar bagi China pada tahun lepas. Selain itu, jumlah perdagangan dua hala kekal meningkat pada tiga suku pertama tahun ini.

Prestasi tersebut bukan sahaja menjamin keselamatan rantaian perindustrian dan bekalan serantau, tetapi juga mempertahankan multilateralisme dan perdagangan bebas.

Dalam pada itu, langkah-langkah China untuk terus memperluas keterbukaan pintu dan memperkasakan kerjasama dianggap sangat tepat pada waktunya untuk rejuvenasi serantau.

Kerjasama Asia Timur mencapai hasil yang memberangsangkan susulan negara serantau bersama menjunjung multilateralisme, menghormati kedudukan ASEAN, dan menangkis gangguan daripada kuasa besar dari rantau luar.

Walaupun wujud perbezaan dari segi tahap pembangunan, budaya dan sistem politik, namun negara-negara Asia Timur mempunyai kepentingan bersama dalam melawan pandemik dan memulihkan ekonomi, dan mampu memelihara kedamaian dan kestabilan serantau.

张哲