Beijing Bantah Keras Fitnah AS Menyasar Isu Agama

2021-11-19 10:56:22  CRI
Share with:

Beijing membantah sekerasnya tuduhan tidak berasas Amerika Syarikat (AS) bermotifkan memburuk-burukkan kebebasan beragama di China.

Bantahan itu disuarakan menerusi jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian dalam sesi taklimat di Beijing pada Khamis, sebagai respons terhadap kenyataan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bahawa China antara yang tersenarai sebagai Negara Diprihatinkan Khas atas pelanggaran kebebasan beragama.

Zhao turut membalas dengan mengatakan bahawa hak kebebasan beragama rakyat dijamin oleh kerajaan di sisi undang-undang.

Menurutnya, terdapat hampir 200 juta orang pemeluk agama, manakala seramai 380 ribu kakitangan hal ehwal agama di seluruh negara.

Selain itu, terdapat kira-kira 5,500 kumpulan agama dan lebih 140 ribu tempat ibadat yang berdaftar untuk aktiviti keagamaan. Semua etnik di China menikmati sepenuhnya kebebasan beragama.

“Kebohongan yang diulang seribu kali mustahil diyakini sebagai kebenaran. Penyebaran Islamofobia dan ideologi ekstremis lain di AS telah mengakibatkan banyak tragedi.

“Daripada bermuhasabah diri, negara itu kerap mempergunakan isu agama untuk mencampuri urusan dalaman negara lain tanpa menghiraukan fakta,” ujar Zhao.

Beliau menggesa pihak AS supaya memfokuskan kepada masalah sendiri, menghormati fakta dan mengetepikan prejudis, serta berhenti memburuk-burukkan negara lain atas nama isu agama.

董筱娉