Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengumumkan baru-baru ini untuk mempelawa pihak berkuasa Taiwan menyertai apa yang disebut "Sidang Kemuncak Demokrasi". China turut membantah perbuatan yang menyokong kuasa "Kemerdekaan Taiwan" dengan dalih "demokrasi" itu, yang dilihat sebagai campur tangan terhadap hal ehwal dalaman China, melanggar prinsip "Satu China", memicu pertentangan dan pemisahan, dan sama sekali tidak selaras dengan nilai demokrasi.
Hanya rakyat barulah berkelayakan untuk mengadili negaranya demokratik atau tidak. Demokrasi bermodelkan AS baik atau tidak, dengarlah suara rakyat negaranya.
Menurut satu laporan dari Pusat Penyelidikan Pew, kebanyakan warga AS berasa kecewa terhadap sistem politik negara sendiri, dengan hanya 17% yang menganggap "demokrasi" Uncle Sam patut dicontohi. Tinjauan pendapat umum yang dilakukan Yayasan Bosch Jerman menunjukkan, lebih 80% orang dari AS dan Britain berpendapat bahawa politikus negaranya adalah boneka modal, sedangkan lebih separuh warga AS mengkritik sistem demokratik mereka "tidak berkesan" pada masa sekarang. Menurut satu laporan tahunan yang dikeluarkan pertubuhan antarabangsa berkenaan akhir-akhir ini, Uncle Sam buat kali pertamanya tersenarai sebagai "negara yang menyaksikan pengunduran demokrasi".
Demokrasi bermodelkan AS bukan sahaja gagal menjadikan rakyatnya relevan dalam pembangunan negara dan berasa bahagia dalam menjalani kehidupan harian, tetapi juga mengundang kecurigaan besar di persada antarabangsa. Pengunduran tentera AS dari Afghanistan dan malapetaka yang ditinggalkannya kepada rakyat tempatan sekali lagi membuktikan kegagalan demokrasi bermodelkan AS di seberang laut. Sebelum mengumumkan senarai undangan sidang kemuncak demokrasi terbabit, AS pernah menghantar kapalnya merentasi Selat Taiwan sebanyak 11 kali. Dunia ini menjadi semakin risau akibat kehadiran AS, 'ikon demokrasi' yang asyik menunjukkan otot untuk menjejaskan kestabilan serantau.
Biar betapa lantangnya berteriak dan mewar-warkan "sidang kemuncak demokrasi", Uncle Sam tetap tidak berhak melakukan monopoli terhadap pentakrifan dan pengadilan 'demokrasi', dan hanya akan terdedah kemunafikan dan amalan dwistandard demokrasi yang bermodelkan AS, sehingga menghidangkan satu lagi farsa politik di pentas dunia.