“Sidang kemuncak demokrasi” yang dirancang Amerika Syarikat (AS) berakhir pada Jumaat dalam suasana sunyi dan lengang. Agenda itu menjadi bahan ketawa di hadapan masyarakat antarabangsa, lebih-lebih lagi dengan pertunjukan sarkas yang dimainkan anasir pemisah Hong Kong, Nathan Law Kwun-chung dan wakil pihak berkuasa Taiwan, Audrey Tang.
Farsa politik itu gagal menarik perhatian khalayak kerana niat di sebaliknya dapat dilihat dengan amat jelas, iaitu menghasut perpecahan dan konfrontasi, di samping memelihara hegemoni AS.
Nathan Law ialah suspek yang melarikan diri ke seberang laut kerana menghadapi tuduhan jenayah, manakala Audrey Tang pula ialah penyebar berita palsu di internet yang ditaja oleh pihak berkuasa Taiwan.
Dalam “sidang kemuncak demokrasi” tersebut, AS tidak lupa menyediakan platform kepada pemisah “kemerdekaan Taiwan” untuk bersuara. Hal ini sekali lagi memperlihatkan muslihatnya mengekang China dengan memperalat isu Taiwan.
Yang menarik perhatian khalayak, Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan terhadap beberapa individu dan entiti di China menjelang sidang kemuncak tersebut. Tindakan itu mendedahkan lagi demokrasi ala AS sebenarnya adalah untuk mengejar hegemoni.
China tidak akan gentar berdepan sekatan. Kekangan yang dikenakan AS juga tidak dapat menghalang China terus mengorak langkah ke hadapan.
Kedamaian dan kerjasama merupakan arus perdana yang dijunjung semua pada zaman sekarang.
Perpaduan dan kolaborasi sangat signifikan bagi masyarakat antarabangsa yang kini menghadapi cabaran yang tidak pernah ditemui sebelum ini.
Mengetepikan mentaliti Perang Dingin dan melakukan yang bermanfaat kepada dunia, inilah perkara yang perlu dibuat AS bagi memastikan dirinya sejajar dengan arus sezaman.