Tahun 2022 yang bakal menjengah tidak lama lagi menyaksikan pandemik COVID-19 masih mengganas, menyebabkan ekonomi global termasuk di Asia Tenggara masih bergelut dengan penularan virus itu, sekali gus menjadikan aktiviti ekonomi sesuatu yang berisiko tinggi.
Bagaimanapun, sesetengah negara dijangka dapat menyaksikan pertumbuhan ekonomi pada tahun depan dengan mengambil kira faktor kadar vaksinasi COVID-19 yang semakin meningkat, penurunan bilangan kes baharu serta pelonggaran sekatan pergerakan secara beransur-ansur.
Bermula 1 Jan depan, perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan dikuatkuasakan selepas lapan tahun dirundingkan hasil inisiatif ASEAN.
Perjanjian dagangan bebas terbesar dunia itu turut mendapat sokongan padu China.
China telah mengemukakan permohonan menjadi anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), diikuti Singapura yang turut menyatakan sokongan terhadap perjanjian berkenaan.
Ia secara tidak langsung menjadi penyumbang penting kepada kemakmuran serta pembangunan serantau.
Namun, ASEAN kini menghadapi cabaran geopolitik yang baharu apabila Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya bertindak menyekat pembangunan China, terutamanya oleh pakatan keselamatan tiga hala antara Australia, Britain dan AS atau dikenali sebagai AUKUS.
Dengan tujuan membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear, pakatan yang diumumkan AS pada September 2021 itu turut menimbulkan kontroversi dan memberi impak negatif kepada rantau ini, menyebabkan negara-negara ASEAN berhadapan dengan ketidaktentuan dalam hubungan antarabangsa.
Peluang Baharu Buat ASEAN
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China. Sempena sidang kemuncak khas bagi memperingati peristiwa bersejarah itu pada November 2021, Presiden China, Xi Jinping mengumumkan jalinan perkongsian strategik komprehensif antara dua pihak.
Perkara itu amat penting dalam mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua pihak, sekali gus menyuntik momentum baharu kepada kedamaian dan kemakmuran bukan sahaja di peringkat serantau, malah di seluruh dunia.
Dengan merangkumi 2.2 bilion atau hampir 30 peratus penduduk dunia, pemeteraian RCEP oleh 15 negara Asia Pasifik membawa makna signifikan.
Mewakili satu pertiga saiz ekonomi dan jumlah keseluruhan dagangan global, RCEP antara yang terbesar di dunia daripada aspek skala dan kualiti.
Antara yang menjadi perhatian adalah RCEP memiliki dua pasaran yang menawarkan pertumbuhan berpotensi tinggi, iaitu badan serantau 10 negara ini yang mempunyai 600 juta penduduk serta China dengan 1.4 bilion populasi.
Selain amat menghargai jiran, kedua-dua pihak itu menyemai semangat kekitaan sambil memperkasakan kerjasama saling untung, yang menjadi satu contoh terbaik.
Perjanjian RCEP itu merangkumi 20 bab antaranya termasuk perdagangan perkhidmatan, e-niaga dan harta intelek (IP).
RCEP akan menghapuskan tarif sehingga 90 peratus produk yang diperdagangkan oleh negara penandatangan dalam tempoh 20 tahun selepas perjanjian berkenaan dikuatkuasakan.
Banyak faedah tersedia yang menyediakan perusahaan di rantau ini dengan lebih banyak peluang perniagaan.
Sebagai contoh, semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menjalankan urus niaga dengan rakan kongsi dari negara penandatangan RCEP.
Di samping itu ia turut menjimatkan lebih banyak kos dan masa, perdagangan juga dapat dilakukan dengan lebih yakin, telus dan efisien.
Kemboja, yang bakal menjadi pengerusi ASEAN pada 2022, turut menaruh harapan tinggi terhadap RCEP.
Perdana Menteri Hun Sen baru-baru ini menggesa pemimpin perniagaan ASEAN supaya mengoptimumkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada serta RCEP untuk mengembangkan sayap perniagaan.
Jelasnya, ia akan merangsang aktiviti perdagangan dan pelaburan, khususnya pelaburan langsung asing (FDI) yang bakal mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan masyarakat dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Mengambil kesempatan daripada integrasi ekonomi yang pertama di rantau ini, Malaysia juga optimis bahawa RCEP akan mewujudkan peluang perniagaan yang besar.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapanya di Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi Global China (GCET) pada pertengahan Disember berkata, RCEP bukan sahaja akan menyediakan peluang baharu untuk perniagaan di Malaysia, tetapi juga membolehkan komuniti perniagaan serantau mengakses pasaran Malaysia dan ASEAN dengan lebih meluas.
Cabaran Baharu Buat ASEAN
India pada asalnya turut terlibat dalam perjanjian RCEP. Namun, negara yang berpenduduk 1.3 bilion itu tidak memeterai perjanjian berkenaan ekoran pendiriannya yang goyah sepanjang perundingan selama lapan tahun.
Negara-negara ASEAN terus memujuk India supaya menganggotai RCEP, tetapi ada laporan yang memetik wakil rasmi negara itu sebagai berkata, keutamaan India diletak pada perjanjian ekonomi dengan AS dan Kesatuan Eropah (EU).
Akhir sekali, India memutuskan untuk menganggotai pakatan keselamatan Quad atas pujukan AS, yang strateginya kini beralih ke kawasan Indo-Pasifik.
Dianggotai AS, Australia, Jepun dan India, pakatan itu buat pertama kalinya mengadakan mesyuarat pada September 2021, yang mencetuskan kebimbangan bahawa berlakunya persaingan geopolitik, mentaliti Perang Dingin, konfrontasi sesama kumpulan berbeza dan kebangkitan hegemoni.
Sejak mengambil alih Rumah Putih, Presiden AS, Joe Biden bersungguh-sungguh melebarkan sayap ke Asia. Penubuhan AUKUS memperlihatkan niat negara itu untuk merapatkan lagi ikatan ekonomi dengan negara di Asia Pasifik, sekali gus menjaga kepentingan kompetitif dalam sains dan teknologi tercanggih.
Demi memperkukuh dominasi ekonomi, AS bercadang mewujudkan rangka ekonomi Indo-Pasifik, malah turut menghantar wakil ke negara ASEAN untuk memperkenalkan ideanya.
Setiausaha Perdagangan Gina Raimondo semasa berada di Singapura pada pertengahan November, mendedahkan rangka tersebut dijangka dilancarkan pada awal 2022, yang memfokuskan kepada pemudahan perdagangan, ekonomi digital, tenaga bersih, piawaian buruh dan rantai bekalan.
Ibarat ada udang di sebalik batu, jelasnya niat sebenar Washington mengutus Naib Presiden Kamala Harris dan Setiausaha Negara Antony Blinken ke Asia Tenggara untuk melobi sokongan daripada negara rantau itu.
Penutup
Menjelang ambang tahun baharu, penularan COVID-19 varian Omicron yang melanda dunia pada ketika ini menyebabkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan terus dilaksanakan secara ketat.
ASEAN telah mengutip banyak pengalaman berharga dalam memerangi wabak sejak ia tercetus dua tahun lalu. Walaupun belum mencapai tahap ‘sifar’, namun kadar vaksinasi di negara-negara terbabit semakin meningkat.
Justeru, fasa endemik atau hidup bersama dengan virus COVID-19 bagi membuka semula aktiviti ekonomi telah menjadi kebiasaan baharu bagi ASEAN.
Tatkala menghadapi pelbagai cabaran akibat geopolitik, ASEAN dan China akan berganding bahu untuk memantapkan pelaksanaan perjanjian RCEP yang akan berkuasa kuasa tidak lama lagi.
Perpaduan yang kekal utuh antara kedua-dua pihak itu pasti akan menangkis segala halangan serta rintangan, sekali gus mempertahankan kedudukan utama ASEAN.
Oleh: Chong Tien Siong