Laporan Kerja Kerajaan 2015
oleh Li Keqiang
Para perwakilan,
Sekarang saya mewakili Dewan Negara, menyampaikan laporan kerja kerajaan kepada Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC). Para perwakilan diminta membahaskannya. Para anggota Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) diminta mengemukakan cadangan.
Bahagian I: Meninjau Kembali Kerja Tahun 2014
Dalam tempoh setahun yang lalu, pembangunan China menghadapi situasi dalam dan luar negara yang rumit lagi serius. Pemulihan ekonomi global menghadapi kesukaran, pelbagai entiti ekonomi mengalami situasi yang berbeza. Tekanan kemerosotan ekonomi dalam negeri terus meningkat, pelbagai kesukaran dan cabaran wujud bersama. Bagaimanapun, di bawah pimpinan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Xi Jinping, rakyat pelbagai kaum di seluruh negara bersatu padu, mengatasi kesukaran, berjaya mencapai sasaran utama pembangunan sosioekonomi. Usaha mempergiat pembaharuan secara menyeluruh mencapai permulaan yang baik; usaha menggalakkan pentadbiran negara berdasarkan undang-undang secara menyeluruh memasuki tahap baharu; usaha membina masyarakat kaya secara menyeluruh mengorak langkah yang baharu.
Dalam tempoh setahun yang lalu, pembangunan sosioekonomi negara kita berada pada tahap yang stabil di samping mencapai kemajuan. Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) mencatat 63.6 trilion yuan, meningkat 7.4% berbanding dengan tahun 2013. Angka ini menduduki tempat teratas antara entiti ekonomi utama di dunia. Peluang kerja di bandar dan pekan bertambah sebanyak 13.22 juta, peningkatan ini lebih banyak berbanding tahun 2013. Harga pengguna meningkat 2%. Struktur ekonomi terus diperbaiki, pengeluaran bahan makanan mencatat 605 bilion kilogram, kadar sumbangan penggunaan dalam pertumbuhan ekonomi meningkat 3% dan mencatat 51.2%, peratusan nilai tambah industri perkhidmatan meningkat daripada 46.9% kepada 48.2%. Industri baharu, trend baharu, model perniagaan baharu turut muncul. Kadar pertumbuhan ekonomi di kawasan tengah dan barat lebih tinggi berbanding dengan kawasan timur. Pendapatan belanjawan awam biasa meningkat 8.6%, perbelanjaan pembangunan untuk penyelidikan dan ujian menduduki lebih 2% daripada KDNK. Di samping itu, penggunaan sumber tenaga menurun 4.8%, ini merupakan penurunan yang paling besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Peningkatan pendapatan per kapita penduduk mencatat 8%, lebih tinggi berbanding dengan pertumbuhan ekonomi. Antaranya peningkatan pendapatan per kapita di kawasan luar bandar mencatat 9.2%, lebih pesat berbanding dengan peningkatan di bandar. Jumlah penduduk miskin di kawasan luar bandar menurn 12.32 juta orang, masalah keselamatan air minum untuk lebih 66 juta penduduk di kawasan luar bandar diselesaikan, jumlah pelancong ke luar negara mencatat 100 juta.
Dalam tempoh setahun yang lalu, kesukaran dan cabaran lebih besar daripada jangkaan. Bagaimanapun, kerajaan berani menempuh ujian, dan menyelesaikan kerja-kerja utama seperti berikut.
Pertama, melaksanakan pengubahsuaian dan pengawalan bersasaran, mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang stabil. Berdepan dengan tekanan kemerosotan ekonomi yang besar, kerajaan mengekalkan kelestarian strategi, menstabilkan dasar ekonomi makro, tidak mengambil langkah rangsangan yang kuat untuk jangka pendek, sebaliknya terus membaharui fikiran dan cara kawalan makro, melaksanakan pengubahsuaian dan pengawalan bersasaran, merangsang kedinamikan, menyempurnakan kelemahan, dan menguat ekonomi sebenar.
Kerajaan telah melaksanakan dasar fiskal yang cermat dan dasar kewangan yang stabil. Melaksanakan pengurangan tarif secara bersasaran dan penurunan bayaran secara umum, memperluas dasar keutamaan cukai terhadap syarikat kecil dan mikro, memperluas percubaan mengubah cukai perniagaan menjadi cukai nilai tambah.
Kedua, memperdalam pembaharuan dan pintu terbuka, merangsang kedinamikan pembangunan sosioekonomi.
Kerajaan telah menggalakkan pembaharuan utama, menetapkan dan melaksanakan pelan mempergiat pembaharuan mekanisme kewangan dan percukaian, pembaharuan sistem pengawalan belanjawan dan sistem percukaian mencapai kemajuan penting. Pengurusan terhadap hutang kerajaan ditingkatkan. Tahap turun naik faedah simpanan dan pertukaran mata wang RMB menjadi besar, ujian bank swasta mencapai kemajuan baharu, percubaan menyambungkan bursa saham Shanghai dan Hong Kong dimulakan, penggunaan rizab mata wang asing dan dana insurans diperluas, pembaharuan harga dalam bidang sumber tenaga, pengangkutan, perlindungan alam sekitar, telekomunikasi dan lain-lain dipercepat. Pembaharuan terhadap pengurusan dana sains dan teknologi, peperiksaan dan penerimaan pelajar, sistem kewargaan, sistem insurans pencen pegawai awam dimulakan.
Memudahkan prosedur pentadbiran, menyepadukan tindakan memudahkan dan mengawal prosedur pentadbiran tetap diutamakan dalam usaha pembaharuan. Sebanyak 246 prosedur kelulusan dan pengesahan pentadbiran telah dibatalkan atau dialihkan kepada kerajaan tempatan oleh Dewan Negara China. Selain itu, inovasi dalam sistem perniagaan terus dijalankan. Sebanyak 1,293 perusahaan baharu berdaftar. Walaupun pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan, namun peluang kerja terus meningkat dan ini telah memperlihatkan pengaruh pembaharuan yang kuat dan potensi pasaran yang besar.
Mendorong pembaharuan dan pembangunan berdasarkan usaha pintu terbuka. Meluaskan kawasan ujian Zon Perdagangan Bebas Shanghai, mewujudkan zon ujian seumpama itu di provinsi Guangdong, bandar Tianjin dan provinsi Fujian. Mengekalkan kestabilan eksport di samping meningkatkan import, kuota eksport China dalam pasaran antarabangsa terus naik. Penggunaan sebenar pelaburan langsung asing mencatat angka USD119.6 bilion, menduduki tempat pertama di dunia. Pelaburan langsung ke luar negara pula mencatat USD102.9 bilion yang setaraf dengan penggunaan pelaburan asing. Kawasan Perdagangan Bebas antara China dengan Iceland dan Switzerland telah siap dan dimulakan, manakala rundingan kawasan perdagangan bebas China-Republik Korea, China-Australia pula telah diselesaikan. Kerjasama dengan negara luar dalam bidang kereta api, tenaga, minyak dan gas asli, serta telekomunikasi juga telah mencapai hasil yang besar.
Ketiga, memperhebat pengubahsuaian struktur, meningkatkan daya dorongan pembangunan.
Kerajaan terus mengukuhkan asas pertanian. Meningkatkan pelaksanaan dasar menguatkan, menguntungkan, dan mengayakan kaum tani. Produktiviti komprehensif pertanian meningkat secara stabil, taraf sains teknologi dan mekanisasi pertanian terus meningkat, pembinaan projek tali air yang penting dicepatkan, membina atau membaiki jalan di kawasan luar bandar sepanjang 230 ribu kilometer. Projek memulihkan tanah pertanian menjadi hutan dan padang rumbut pusingan baharu telah dimulakan.
Mempergiat usaha pengubahsuai struktur perindustrian. Memupuk titik pertumbuhan yang baharu, mendorong industri perkhidmatan berkembang secara pesat, menyokong pembangunan industri-industri baharu seperti internet mudah alih, kelengkapan dan peralatan yang berteknologi tinggi, dan kereta tenaga alternatif. Industri kewangan internet bangkit sebagai industri yang baharu, e-dagang dan logistik serta pos ekspres berkembang pesat. Industri kreatif berkembang dengan makmur. Pada waktu yang sama, 15 industri yang menggunakan tenaga atau sumber yang tinggi seperti besi dan keluli, dan konkrit telah ditutup atau dibaiki menurut jadual yang ditetapkan. Usaha membaiki mutu udara dan mencegah jerebu terus dijalankan.
Mendorong pembinaan infrastruktur dan pembangunan kawasan yang selaras. Beijing, Tianjin dan Hebei berkembang secara selaras, pembinaan zon ekonomi Sungai Yangtze mencapai kemajuan yang penting. Landasan kereta api yang baru dibina mencapai 8,427 kilometer, manakala operasi kereta api berkelajuan tinggi pula mencatat 16,000 kilometer yang menduduki lebih 60% di dunia. Lebuh raya sepanjang 112 ribu kilometer, pembinaan laluan air, penerbangan awam dan jaringan paip juga terus ditingkatkan. Pengguna jalur lebar telah melebihi 780 juta orang. Projek penggal pertama di kawasan tengah dalam usaha penyaliran air dari selatan ke utara telah siap secara rasmi dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Mendorong pembangunan berdasarkan inovasi. Program penyelidikan sains yang penting seperti pengiraan raya, projek menerokai bulan, penggunaan statelit telah mencapai kemajuan yang penting.
Keempat, membentuk dan mengukuhkan jaringan jaminan sosial demi kesejahteraan rakyat. Kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat, terus menambah peruntukan dalam kehidupan rakyat. Kadar peruntukan kerajaan yang digunakan untuk kesejahteraan rakyat telah melebihi 70%.
Menambah peluang kerja dan meningkatkan jaminan sosial. Kerajaan terus menyepurnakan dasar mendorong penambahan peluang kerja, melaksanakan rancangan keusahawanan demi menambah peluang kerja. Sistem insurans pencen di bandar dan di luar bandar telah diselaraskan. Selain itu, sebanyak 7.4 juta unit rumah dibina untuk projek perumahan asas, antaranya 5.11 juta daripadanya telah siap dibina. Sistem bantuan sementara telah dibentuk secara menyeluruh. Piawaian gaji minimum di bandar dan di luar bandar masing-masing meningkat 9.97% dan 14.1%.
Terus mendorong kesaksamaan pendidikan. Kerajaan telah meningkatkan pembinaan sekolah di kawasan miskin, menaikkan bantuan kepada pelajar yang berasal dari keluarga miskin. Piawaian bantuan pinjaman pendidikan negara telah meningkat dengan besar.
Mempergiat pembaharuan dalam sektor kesihatan dan perubatan. Projek ujian insurans penyakit serious penduduk di bandar dan di luar bandar telah meliputi seluruh negara. Sistem bantuan kecemasan penyakit telah dibina. Insurans perubatan rakyat meliputi 95% di seluruh China.
Membangunkan industri kebudayaan. Menggalakkan pelbagai program kebudayaan penting yang membawa faedah kepada rakyat. Mewujudkan liputan jaringan radio dan televisyen di setiap keluarga.
Kelima, membaharui tadbir urus sosial, menggalakkan kestabilan dan keharmonian. Kerajaan menangani pelbagai bencana alam dan peristiwa kecemasan dengan sempurna, menjamin keselamatan jiwa rakyat dan memelihara ketenteraman masyarakat.
Ketika gempa bumi yang dahsyat berlaku di Ludian dan Jinggu, provinsi Yunnan pada tahun lalu, China segera melaksanakan bantuan bencana dengan berkesan, yang membolehkan projek pembinaan semula dijalankan dengan lancar. China juga secara aktif membantu Afrika memerangi wabak Ebola, dan berjaya mencegah wabak tersebut menyebar ke dalam negeri. China mengintensifkan usaha untuk menjamin keselamatan pengeluaran. Jumlah kejadian berkaitan masalah keselamatan yang membabitkan sektor-sektor penting terus menurun. Pada masa yang sama, situasi keselamatan makanan dan ubat-ubatan kekal stabil.
Kerajaan komited menggalakkan pentadbiran berdasarkan undang-undang. Dalam pada itu, Dewan Negara telah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Tetap NPC supaya 15 undang-undang termasuk undang-undang keselamatan makanan serta 38 peraturan pentadbiran digubal dan dipinda. Keterbukaan urusan pentadbiran terus meningkat. Kerajaan mengumpul suara masyarakat melalui pelbagai saluran sebelum membuat suatu keputusan penting.
Kerajaan melaksanakan "lapan peraturan" mengenai usaha antirasuah yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pusat PKC dengan bersungguh-sungguh. Melakukan usaha berterusan untuk membanteras birokrasi, formalisme, hedonisme dan keborosan. Melaksanakan sepenuhnya "tiga peraturan" Dewan Negara bagi mengawal pembinaan bangunan milik kerajaan, jumlah kakitangan institusi awam serta penggunaan dana awam. Meningkatkan penyeliaan badan audit, menggalakkan pentadbiran bersih dan memperhebat usaha antirasuah, menyiasat kes yang melanggar disiplin parti dan undang-undang negara dengan serius. Sekumpulan pegawai yang terlibat dalam kes rasuah telah menerima hukuman yang setimpal.
Dalam tempoh setahun yang lalu, usaha diplomasi China mencapai hasil yang memuaskan. Presiden Xi Jinping dan pemimpin-pemimpin negara yang lain telah melawat ke banyak negara, menghadiri sidang kemuncak G20, BRICS, SCO, Asia Timur, Euroasia, Forum Davos dan lain-lain. China pula berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak Tidak Rasmi ke-22 APEC, sidang kemuncak ke-4 Persidangan Mengenai Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA) serta Forum Asia Boao. Di samping itu, China aktif menyertai pembentukan mekanisme pelbagai hala dan peraturan antarabangsa. China menggalakkan pembangunan Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21, serta penubuhan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) dan Tabung Laluan Sutera. Hubungan dan kerjasama antara China dengan pelbagai negara semakin erat, imej China sebagai negara besar yang bertanggungjawab semakin menonjol di arena antarabangsa.
Para perwakilan,
Pencapaian pada tahun lalu hasil pelaksanaan keputusan yang dibuat secara saintifik oleh Jawatankuasa Puat PKC pimpinan Setiausaha Agung Xi Jinping, serta perjuangan bersama seluruh anggota parti, tentera dan rakyat pelbagai etnik. Saya mewakili Dewan Negara merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada rakyat pelbagai etnik, pelbagai parti demokrasi, pertubuhan bukan kerajaan, tokoh-tokoh dari pelbagai lapisan masyarakat, saudara setanah air dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Makau, saudara setanah air dari Taiwan serta perantau China di seberang laut. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pelbagai negara lain, pertubuhan antarabangsan dan sahabat-sahabat dari luar negara yang prihatin dan menyokong pembangunan modenisasi China.
Di sebalik pencapaian tersebut, China juga berdepan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran dalam pembangunannya. Pertumbuhan pelaburan kurang dinamik, tumpuan penggunaan yang baharu tidak berapa banyak, pemulihan pasaran antarabangsa kurang memuaskan, usaha menstabilkan pertumbuhan ekonomi berdepan dengan kesukaran besar, dan masih wujud risiko yang besar dalam sektor tertentu. Pada masa yang sama, harga produk industri terus menurun, kos pengeluaran meningkat, syarikat-syarikat kecil dan mikro sukar mendapatkan dana, operasi sebahagian syarikat menghadapi kesukaran. Kaedah pembangunan ekonomi agak kasar, kemampuan inovasi masih lemah, asas pertanian kurang kukuh. Rakyat kurang puas hati terhadap bidang perubatan, pencen, perumahan, pengangkutan, pendidikan, pembahagian pendapatan, keselamatan bahan makanan, keamanan masyarakat dan lain-lain. Pencemaran yang serius dan kejadian berkaitan masalah keselamatan turut berlaku di beberapa tempat. Masih wujud kelemahan dalam kerja-kerja kerajaan. Beberapa dasar tidak dilaksanakan dengan baik, sebahagian kecil kakitangan kerajaan menyalahgunakan kuasa, beberapa gejala rasuah amat mengejutkan, sebahagian kakitangan kerajaan cuai dalam melaksanakan tugas mereka. Kerajaan perlu menangani masalah-masalah tersebut secara tuntas, bersiap siaga untuk menghadapi risiko dan bahaya meskipun berada dalam keadaan aman, dan berani memikul tanggungjawab agar tidak menggagalkan misi sejarah dan mengecewakan rakyat.