Amerika Syarikat (AS) dan Turki memulihkan perkhidmatan visa antara satu sama lain, yang telah digantung selama hampir tiga bulan ekoran krisis diplomatik.
Menurut pengumuman Jabatan Negara AS menerusi kedutaan di Ankara, pihaknya yakin situasi keselamatan telah bertambah baik hingga membolehkan perkhidmatan visa dipulihkan.
Washington berpuas hati dengan jaminan Ankara bahawa staf di pejabat perwakilan AS tidak lagi disiasat ataupun ditahan tanpa memaklumkan pihak mereka terlebih dahulu sejak Oktober lepas seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Tuduhan terhadap staf AS yang ditahan bagaimanapun masih menjadi perhatian, dan Washington akan terus berunding dengan Ankara untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Keputusan Jabatan Negara AS untuk memulihkan perkhidmatan visa dialu-alukan oleh Turki, yang disahut dengan tindakan serupa oleh negara itu.
Namun, berhubung isu staf AS yang ditahan, Ankara dalam satu kenyataan menegaskan bahawa staf berkenaan bukan ditahan kerana menjalankan tugas rasminya, dan Washington tidak seharusnya menyebarkan maklumat yang salah kepada khalayak di Turki dan AS.
Krisis diplomatik antara AS dengan Turki adalah susulan kes Metin Topuz, warga tempatan yang bekerja di pejabat konsul AS di Istanbul, yang ditahan pada Julai tahun lalu atas tuduhan mengintip.