Riwayat Hou Yi Memanah Matahari

2018-03-29 14:26:13  CRI
Share with:

Riwayat Hou Yi Memanah Matahari

 

Pada zaman purba kala, kononnya terdapat 10 matahari di kayangan. Cahaya matahari yang panas terik menyebabkan tanah kering, panas dan berasap, air di laut kering sejat dan rakyat jelata menghadapi ancaman maut.

 

Melihat manusia hidup menderita, dewa kayangan mengarahkan dewa panah, Hou Yi supaya turun ke kalangan manusia untuk menyelamatkan mereka. Hou Yi membawa sebuah busur yang berwarna merah, sebuah beg yang berisi dengan anak panah berwarna putih serta isterinya yang cantik iaitu Chang E, turun ke bumi.

 

Sebaik sahaja tiba di bumi, Hou Yi menasihati kesemua 10 matahari supaya mereka keluar bergilir-gilir, yakni satu sahaja setiap hari, supaya manusia mendapat cahaya matahari, tetapi tidak menderita kepanasan yang amat sangat. Tetapi kesepuluh-sepuluh matahari itu enggan menerima nasihat Hou Yi. Hou Yi naik berang, lalu melancarkan serangan untuk memanah jatuh matahari. Dia memanah jatuh 9 matahari, satu demi satu. Sejak itulah, manusia hidup dengan aman dan bahagia dengan hanya satu matahari di langit.

 

Jasa Hou Yi dicemburui oleh dewa-dewi yang lain. Mereka menfitnah Hou Yi di depan dewa kayangan. Baginda termakan fitnah itu, dan terus mengetepikan Hou Yi. Kemudian, baginda menghukum Hou Yi dan isterinya supaya turun ke bumi, dan tidak diizinkan pulang ke istana di kayangan lagi. Hou Yi membawa isterinya, iaitu Chang E, tinggal di bumi, dan hidup bersama-sama dengan manusia biasa. Mereka mencari rezeki dengan berburu. Hidup mereka sangat miskin dan susah.

 

Setelah sekelian lama, Hou Yi berasa kasihan kepada isterinya yang terpakas turun dari kayangan dan hidup menderita kemiskinan. Terdengarlah khabar, dewi ratu barat yang tinggal di Gunung Kunlun mempunyai sejenis ramuan yang ajaib. Dengan ramuan itu, sesiapa sahaja boleh naik ke kayangan. Hou Yi pun pergilah ke Gunung Kunlun yang jauh itu dengan berjalan kaki untuk menziarahi dewi ratu barat dan meminta ramuan tersebut. Namun, dia berasa kecewa kerana ramuan itu hanya cukup untuk seorang sahaja naik ke kayangan. Hou Yi tidak sampai hati kembali ke kayangan seorang diri dan meninggalkan isterinya seorang diri di bumi. Dia juga tidak mahu isterinya pulang ke kayangan seorang diri. Jadi, dia pun menyembunyikan ramuan itu di rumahnya.

 

Tetapi isterinya, Chang E, tidak mahu tinggal di bumi lagi. Ketika Hou Yi keluar berburu, Chang E telah memakan ramuan tersebut. Sebaik sahaja ditelannya ramuan itu, Chang E berasa badannya menjadi ringan sehingga ia terbang ke kayangan. Akhirnya tibalah dia di Istana Guanghan di bulan. Setelah mengetahui isterinya sudah pulang ke kayangan, Hou Yi berasa sangat sedih. Tetapi dia tidak tergamak menggunakan busurnya untuk memanah mati isterinya yang sudah berada di bulan itu. Dia hanya mengucapkan selamat jalan kepada isterinya.

 

Hou Yi terus tinggal di bumi, dan mengajar teknik memanah kepada orang di bumi. Salah seorang penuntutnya yang bernama Feng Meng, sangat pandai memanah, tetapi mempunyai hati yang jahat. Dia berpendapat, selagi gurunya, Hou Yi, masih hidup, dia tidak akan berpeluang menjadi pemanah yang terhebat di dunia. Jadi, pada suatu hari, ketika dilihat Hou Yi minum arak sampai mabuk, dia menggunakan peluang ini untuk membunuh gurunya itu.

Chang E yang tinggal seorang diri di istana bulan itu pula hanya ditemani oleh seekor arnab dan seorang tua yang bertugas menebang pokok. Dia yang berasa kesepian itu, kini sangat merindui waktu-waktu bahagia yang dilaluinya dengan suaminya suatu ketika dahulu.

系统管理员