Berdoa Untuk MU5735

2022-03-22 15:40:17  CRI
Share with:

Pesawat Boeing-737 MU5735 yang membawa 123 penumpang dan 9 anak kapal terhempas di Wuzhou, Guangxi China dalam perjalanan ke Guangzhou petang semalam.

 

Berdasarkan data penerbangan, pesawat yang berada di altitud setinggi lebih 8,000 meter itu hilang kelajuan secara mendadak dan terhempas di hutan Wuzhou dalam kira-kira dua minit saja.

 

Pasukan bomba, tentera, polis, penerbangan awam dan pelbagai pihak yang lain segera dikerahkan untuk meneroka jalan ke tapak kejadian dan misi SAR dilaksanakan malam tadi.

 

Timbalan Perdana Menteri, Liu He juga berlepas dari Beijing ke tempat kejadian malam semalam untuk menyelaraskan misi SAR atas arahan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang.

 

Berita yang menyedihkan ini menjadi tumpuan utama masyarakat China termasuk Satria.

 

Meskipun ada laporan yang memberitahu kesemua 132 individu meninggal dunia, namun selagi mana kita tidak menjumpai mayat dan kotak hitam, marilah kita bersama-sama doa semoga adanya keajaiban dilaporkan.

 

Bila kejadian ini berlaku, igauan mengenai MH370 terus datang kepada Satria.

 

Pagi 8 Mac 2014, kami sekeluarga berancang keluar untuk sambutan hari jadi isteri Satria pada pagi itu. Tiba-tiba mendengar berita kehilangan MH370, dan panggilan dari pelbagai media Malaysia bahkan Indonesia turut masuk minta buat lintas langsung.

 

Satria sibuk mengumpulkan maklumat terkini dari kerajaan China dan respons dari masyarakat untuk dikongsikan dengan pendengar di Malaysia dalam kira-kira dua minggu selepas itu. Page ini juga dibuka pada masa itu untuk mengongsikan maklumat lebih cepat.

 

Tapi satu topik yang Satria tolak untuk kongsi adalah mengenai perasaan keluarga mangsa. Sebab mereka sedang berada dalam keadaan yang begitu sedih dan tidak patut diganggu.

 

Media boleh menceritakan keadaan mereka, tapi tidak sesuai bertanya lagi dengan persoalan bodoh seperti “Apalah perasaan anda buat masa ini?”

 

Sebenarnya Satria mengikuti akaun media sosial ramai keluarga mangsa MH370 untuk memahami keadaan mereka, tapi jarang komen di bawah hantaran.

 

Meskipun ramai netizen telah mengikuti mereka pada masa itu, Satria yakin hantaran mereka bukan untuk menjadi tular, mungkin perkataan untuk diri sendiri atau orang yang sudah pergi saja. Tiada orang mampu menghayati perasaan mereka.

 

Antaranya termasuk seorang gadis yang kehilangan kekasih, selalu muat naik rasa sayang dan rindu pada beberapa tahun awal. Beransur-ansur kebanyakan hantaran menjadi kehidupan harian, tapi kadang-kadang juga ada yang menyentuh kemalangan tersebut.

 

Hingga tahun 2019, tiada lagi hantaran mahupun kelibat pemilik akaun FB individu tersebut. Ketika itu, Satria amat bimbang dan tertanya-tanya adakah ia sebenarnya menyembunyikan kesedihan saja dalam beberapa tahun ini dan akhirnya tak boleh tahan lagi?

 

Bertuah, pada suata hari ada kawan gadis itu menyatakan dalam komen bahawa ia telah memulakan kehidupan baharu.

 

Ini menjadi maklumat yang paling menggembirakan setelah Satria mengikuti perkembangan kemalangan itu sejak 2014.

 

Secara terus terang, lintas langsung tiga empat kali sehari mengenai kemalangan MH370 pada 2014 membawa impak juga kepada fizikal Satria sebab terpaksa berulang kali memahami kebimbangan dan kesedihan dari pelbagai pihak.

 

Oleh itu, ketika ada media Malaysia meminta Satria membuat lintas langsung mengenai ulang tahun kejadian MH370, Satria menolak dengan mencari alasan.

 

Mungkin bagi para keluarga mangsa, tidak mengingatkan kesedihan itu dan biarkan mereka mengadakan kehidupan baharu merupakan penghormatan dan bantuan terbesar.

 

Satria benar-benar berharap ada keajaiban dalam misi SAR hari ini. Pada masa sama, Satria juga berharap masyarakat jangan mengganggu keluarga mangsa ketika memberi tumpuan kepada perkembangan terkini.