Sistem Pentadbiran Global Kecewa, Palesti Gagal Jadi Anggota Penuh PBB

2024-04-22 15:40:58  CRI
Share with:

Tindakan Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto bagi menolak usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut keanggotaan penuh Palestin dalam PBB secara jelas telah mengecewakan sistem pentadbiran global.

 

Lebih mengejutkan lagi, Dewan Perwakilan AS juga turut meluluskan pakej bantuan luar bernilai USD26 bilion untuk menyokong Israel dan pada masa sama menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

 

Wakil Palestin, Riyad Mansour ketika berucap selepas sesi pengundian tersebut dilihat cuba menahan tangis dan dalam suaranya yang bergetar beliau mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang menyokong usul berkenaan serta United Kingdom dan Switzerland yang mengundi berkecuali pada sesi undian tersebut. Beliau menegaskan, rakyat Palestin bukanlah berlebih-lebih dan pastinya tidak akan hilang, ini adalah fakta dan sejarah yang tidak mungkin dapat dihapuskan oleh kuasa-kuasa besar dan rejim yang ganas.

 

Ucapan ini jelas memperlihatkan keazaman rakyat Palestin terhadap kebebasan, kedaulatan dan kehormatan negara mereka. Malah wakil dari beberapa negara dilihat turut menahan sebak ketika mendengar ucapan tersebut. Yang nyata, tindakan AS itu telah dilihat mengganggu gugat kebebasan, kedaulatan dan kehormatan rakyat Palestin.

 

Malah tindakan tidak masuk akal oleh AS itu seakan-akan “menghina” rakyat Palestin, apabila AS kononnya bertindak “mulia” dengan memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin sebaliknya pada masa sama telah menghulurkan lebih banyak bantuan senjata kepada Israel.

 

Wakil China di PBB, Fu Cong berkata konflik berdarah Palestin-Israel ini telah memberikan “amaran” kepada masyarakat antarabangsa menerusi cara yang sangat tragik, dan mereka perlu menerima hakikat dengan keazaman rakyat Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan negara mereka, sekaligus berusaha untuk menghentikan ketidakadilan yang berlaku ke atas Palestin dalam tempoh masa yang lama.

 

Tindakan AS membela kekejaman Israel telah membangkitkan rasa tidak puas hati banyak negara berhubung sistem pentadbiran antarabangsa kini yang berasaskan pada PBB.

 

Hampir semua negara bersetuju untuk menambah kerusi ahli tetap Majlis Keselamatan PBB, Cuma AS berharap keahlian Jepun, Jerman atau negara sekutu yang lain, bagi memperkukuhkan kedudukannya di Majlis Keselamatan PBB. Bagaimanapun China menyokong lebih banyak negara membangun seperti Brazil dan Afrika Selatan, supaya pembahagian kerusi lebih adil, lebih banyak suara boleh dilontarkan mewakili negara-negara membangun.

 

Namun perdebatan lebih dahsyat melibatkan hak veto bagi lima negara iaitu AS, China, Rusia, Britain dan Perancis. Tidak boleh dinafikan bahawa, hak veto ini telah mengganggu penyelesaian isu Gaza dan beberapa isu antarabangsa lain, khususnya berkaitan kepentingan lima negara tersebut. Bagaimanapun, ia juga menjadi satu platform “permainan politik” yang lebih aman dan damai.

 

Bayangkan, jika tiada peranan seimbang yang dimainkan oleh China dan Rusia dalam Majlis Keselamatan PBB, pastinya sokongan AS terhadap Israel lebih terbuka, dan mungkin akan menyertai serangan yang dilakukan sekutu kuatnya itu.

 

Manakala pembaharuan terhadap hak veto lima negara tersebut dijangka akan menjadi “permainan politik antarabangsa” yang rumit dan memakan masa yang panjang, yang mungkin akan mengubah sistem pentadbiran global sedia ada. Apa yang boleh dilakukan kini ialah mengecam dwi standard oleh sebahagian negara barat dan “bersuara lantang” menuntut keadilan bagi masyarakat antarabangsa.