Dari Terpaksa Makan Semua Kepada Mampu Makan Semua

2024-05-09 15:57:25  CRI
Share with:

Ketika Satria memperkenalkan Tu Sun Dong, sejenis makanan khas provinsi Fujian kepada kawan dari Malaysia, dia kelihatan amat berminat terhadap hidangan ini, yang kelihatan seakan jeli. Tapi setelah diberitahu di dalamnya adalah sejenis cacing pasir laut, kawan Satria dengan segera menolak.

 

Sebenarnya memang ramai kawan asing berasa hairan, mengapa orang China boleh makan semua makanan, walaupun dianggap pelik oleh ramai orang yang bukan dari negara China. Apa yang Satria faham, keadaan ini disebabkan oleh sejarah lebih 5000 tahun lampau yang menyaksikan ramai penduduk tempatan berdepan masalah kelaparan. Namun masalah ini berjaya diatasi dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

 

Pada zaman kegemilangan Dinasti Tang(tahun 618 hingga 907 Masihi), ada satu bait dari puisi terkenal yang berbunyi “Ketika daging menjadi busuk dalam keluarga kaya, ada orang yang mati membeku di luar pintu”. Malah Satria masih ingat sewaktu kecil, bahan makanan dibekalkan berdasarkan kuota keluarga.

 

Pada musim bunga ini, Satria menyaksikan ramai orang memetik bunga pokok lokus dan daun pokok elm. Kata mereka, sedap kalau digoreng bersama telur atau bahan masakan yang lain. Hakikatnya, ini merupakan kebiasaan yang dilakukan sewaktu “zaman kebuluran” dahulu. Pada masa itu, bukan sahaja bunga dan daun, malah kulit pokok juga golongan miskin makan, khususnya ketika negara ini dilanda bencana alam yang serius.

 

Oleh sebab itu, pelbagai makanan seperti kaki ayam, leher itik atau organ dalaman haiwan tidak mungkin akan dibuang begitu sahaja, seperti yang dilakukan di negara-negara Barat, sebab semua ini merupakan sumber protein yang penting.

 

Tu Sun Dong misalnya direbus dan dimasak sehingga berubah seakan jeli, dan hidangan ini kaya dengan protein. Manakala di Fujian, geografinya berdekatan dengan laut namun kebanyakan bentuk muka buminya merupakan kawasan berbukit. Justeru, kekurangan ladang sawah di kawasan itu, memaksa penduduk tempatan mencari sumber makanan dari bukit dan laut.

 

Namun kini semuanya sudah berubah. Berikutan negara yang membangun dengan pesat, orang China kini mampu makan semua, termasuk hidangan diimport dari luar negara yang dahulunya sangat mahal.

 

Dalam filem Hollywood, kita biasa menyaksikan kaviar dijadikan sebagai hidangan mewah dengan harga yang cukup mahal. Namun, ketika Satria mencari makanan itu di platform e-dagang China, saya agak terkejut kerana harganya hanyalah puluhan RMB sahaja bagi setiap 100 gram. Tanpa berlengah, Satria terus membayar untuk merasai sendiri makanan yang biasanya dimakan oleh golongan jutawan.

 

Pasti ramai tertanya-tanya, mengapa kaviar menjadi begitu murah di sini kan? Ini kerana China mendominasi 70% pengeluaran kaviar di seluruh dunia. Antaranya di Quzhou, Provinsi Zhejiang yang telah menjadi tempat pembiakan ikan Sturgeon sekaligus menghasilkan jumlah kaviar terbanyak di dunia.

 

Begitu juga dengan hidangan ikan belut. Satria pernah mencuba hidangan ikan belut yang terkenal di Tokyo, harganya adalah lebih kurang RM200 bagi satu hidangan, namun yang peliknya ialah kedai itu cukup popular sehingga ramai pelanggan yang sanggup berbaris di hadapan pintu kedai. Ketika itu Satria agak bimbang, bagaimana negara kecil seperti Jepun boleh memenuhi keperluan ikan belut khususnya melibatkan pelancong dari seluruh dunia.

 

Sehinggalah suatu hari, Satria pergi menikmati hidangan di Restoran menghidangkan masakan Fujian. Ketika itu, Satria terlihat satu video yang menunjukkan bahawa 75% ikan belut di dunia adalah berasal dari Fujian. Barulah Satria faham yang sebenarnya banyak restoran di Jepun mengimport ikan belut dari China.

 

Setelah melakukan sedikit bacaan, Satria mendapati rupanya China merupakan pengeluar atau negara sumber kepada banyak bahan makanan yang dahulu selalu terfikir diimport dari luar negara. Ini termasuk hati angsa dari Anhui, ikan salmon dari Xinjiang, udang karang “Australia” dari Chongqing dan lain-lain.

 

Perubahan ini juga bergantung kepada inovasi teknologi pertanian. Contohnya cendawan, yang umum mengetahui sebagai hasil pertanian yang berharga dan biasanya tumbuh pada kayu. Profesor Lin Zhanxi dari Universiti Pertanian dan Hutan Fujian telah menemui sejenis rumput yang boleh digunakan untuk menanam cendawan. Bukan itu sahaja, rumput ini juga boleh ditanam di kawasan padang pasir, untuk memperbaiki struktur tanah gurun. Teknologi ini kemudiannya telah dipromosikan ke Wilayah Autonomi Hui Ningxia yang beriklim amat kering, sekaligus memberi sumbangan besar kepada pembasmian kemiskinan masyarakat tempatan.

 

Pakar China turut membawa teknologi menanam Juncao dan menghasilkan cendawan ke Afrika dan seterusnya kepulauan pasifik, sekaligus membantu puluhan ribu keluarga di sana keluar dari kemiskinan. Di Papua New Guinea misalnya, seorang Menteri memberi nama “Juncao” kepada anak perempuannya untuk memperingati sumbangan besar rumput tersebut kepada ekonomi tempatan.

 

Orang China berpendapat, makan merupakan perkara yang paling penting. Kini, orang China berubah dari “terpaksa makan semua” ke “mampu makan semua”. Namun, harapan kita  adalah seramai mungkin orang  di dunia  ini dapat makan dengan kenyang dan sihat.