China, AS Mahu Tingkatkan lagi Kerjasama Pelancongan

2024-05-23 12:11:11  CRI
Share with:

Dialog Peringkat Tinggi Pelancongan China-Amerika Syarikat (AS) ke-14 yang bertemakan "Sektor Pelancongan Penggalak Pertukaran Sosiobudaya China-AS" dirasmikan di bandar Xi'an provinsi Shaanxi pada Rabu, dengan tujuannya menambah dialog dan memperkasa kerjasama supaya dapat berganding bahu merancakkan landskap pertukaran sosiobudaya antara kedua-dua negara.


Petugas berkenaan dari pihak China menyatakan bahawa China bersedia mempertingkat kerjasama dengan AS, mengalu-alukan syarikat AS memperluas pelaburan di China dalam bidang perhotelan, katering, kebudayaan dan hiburan, serta menyokong agensi pelancongan AS menambah pakej ke China supaya dapat berkongsi peluang pembangunan di negara ini. 


AS diharap menyediakan layanan yang lebih adil, telus dan terbuka kepada agensi pelancongan China yang merancang memulakan atau memperincikan urus niaga di negaranya. China mengalu-alukan pelancong asing termasuk yang dari AS mendatangi China, dan akan berusaha meningkatkan perkhidmatan dalam memudahkan warga asing yang bertugas atau melancong di negaranya. 

 

Sementara itu, Grant Harris, penolong Setiausaha Perdagangan AS bagi Hal-ehwal Industri dan Analisis, dalam ucapannya yang disampaikan dalam aktiviti itu menyatakan bahawa AS menyasarkan akan menerima kunjungan 91 juta pelancong asing pada tahun 2026. Sama ada dapat menarik lebih ramai pelancong dari China merupakan satu faktor penentu bagi mencapai sasaran itu. Kalau jumlah pelancong China ke AS pulih ke paras yang tercatat pada tahun 2019, lebih daripada 50 ribu peluang pekerjaan akan tercipta di negaranya. Beliau menekankan bahawa dialog peringkat tinggi kali ini merupakan satu langkah signifikan bagi memperluas kerjasama pelancongan kedua-dua negara.


Berlangsungnya Dialog Peringkat Pelancongan China-AS juga merupakan sebahagian dalam pelaksanaan konsensus penting yang tercapai dalam pertemuan pemimpin negara kedua-dua pihak di San Francisco tahun lalu. Presiden kedua-dua negara masing-masing mengutus surat tahniah kepada majlis perasmian Dialog ini, menggambarkan kedua-dua pihak peka akan pertukaran sosiobudaya termasuk pelancongan.


Hadir sama, hampir 400 orang daripada jabatan kerajaan, agensi di peringkat daerah dan sektor korporat kedua-dua negara. Para peserta sebulat suara menyatakan bahawa mereka komited terus menggerakkan kerjasama pelancongan dan menggalakkan pertukaran kedua-dua negara di kalangan rakyat.