Risiko Industri Cip Semikonduktor di Malaysia

2024-05-23 14:14:51  CRI
Share with:

Dalam Perutusan Negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap industri baharu yang mempunyai daya saing, prospek yang baik dan bernilai tinggi, khususnya sektor semikonduktor yang semakin mendapat tempat di seluruh dunia.

 

Media Barat melihat industri cip semikonduktor Malaysia kini memperoleh manfaat paling besar dalam situasi sekatan Amerika Syarikat(AS) terhadap China.

 

Syarikat di AS meningkatkan pelaburan di Malaysia dalam rantaian bekalan yang pelbagai bentuk, manakala syarikat China pula meningkatkan pelaburan di negara itu bagi mengelakkan sekatan dari AS.

 

Bagaimanapun, semua ini adalah disebabkan Washington yang belum lagi mengetatkan sekatan. Keadaan ini sama seperti sektor fotovolta di Thailand, Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain pada masa dahulu. Bagaimanapun, selepas AS mengenakan sekatan terhadap industri fotovolta China, banyak syarikat China melabur di negara-negara ini, supaya produk mereka boleh terus dieksport kepada pasaran AS dengan tarif yang lebih rendah. Hakikatnya, kini AS telah meningkatkan tarif tambahan kepada Malaysia dan tiga negara Asia Tenggara lain.

 

Bayangkan, jika suatu hari nanti AS turut meningkatkan sekatan kerjasama cip semikonduktor antara China dengan Malaysia, produk Malaysia besar kemungkinan akan disekat masuk pasaran China, yang disifatkan sebagai pasaran terbesar di dunia. Padahal, banyak dana telah diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, dan besar kemungkinan industri cip semikonduktor ini akan berdepan risiko yang teruk.

 

Jangan lupa kenyataan Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo sebelum ini yang secara terus terang memaklumkan bahawa sasarannya adalah untuk menjadikan AS satu-satunya negara yang mampu menghasilkan cip bentuk baharu menjelang 2030. Malaysia kini berperanan sebagai pengeluar sahaja dalam rantaian bekalan AS, justeru tidak begitu bermasalah. Sama seperti kedudukan China pada 20 tahun yang lalu. Namun, jika Malaysia berhasrat untuk mengorak langkah lebih jauh, seperti apa yang dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar dengan sasaran untuk tumbuh serta nilai tambah lebih tinggi dalam bidang ini, berkemungkinan Malaysia juga akan berdepan sekatan pada masa akan datang.

 

Kemakmuran industri semikonduktor atau risiko pada masa depan industri ini semuanya berpunca daripada sikap “buli” AS dalam rantaian bekalan global.

 

Perdagangan seharusnya berperanan sebagai proses yang saling melengkapi iaitu “saya menyediakan barangan yang awak tiada, dan awak menyediakan barangan yang saya mahu”. Kerjasama yang saling menguntungkan ini sepatutnya menjadi asas kukuh dalam hubungan bilateral sesebuah negara.

Contoh yang terbaik adalah seperti hubungan antara China dengan Malaysia yang bermula dari sektor perdagangan. Porselin dan sutera China dihantar ke Asia Tenggara, manakala pelbagai jenis rempah disediakan kepada pasaran China. Malah dalam media sosial China, ada hashtag yang sangat popular iaitu “pilihan Cheng Ho”, maksudnya Cheng Ho telah membantu memilih produk yang terbaik dari pelbagai negara yang dikunjunginya untuk China.

 

Manakala Inisiatif Jalur dan Laluan yang dilaksanakan, bertujuan untuk melancarkan perdagangan selain meneroka bidang baharu yang saling melengkapi.