Sukan Ais dan Salji untuk OKU Berkembang Pesat
Bagi golongan orang kurang upaya (OKU), aktiviti bersukan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan serta kecergasan diri, malah ia turut menjadi medium untuk mereka berasimilasi dengan masyarakat.
Penganjuran Sukan Paralimpik Musim Sejuk di Beijing dilihat membuka peluang kepada golongan itu untuk terlibat dalam sukan ais dan salji.
Di Sekolah Pendidikan Khas Nanchang di provinsi Jiangxi, murid-murid dilihat sedang bermain curling di bawah bimbingan guru pendidikan jasmani, Yang Chao.
Menurut guru besar sekolah itu, Qin Wenying, sukan curling mencetuskan minat dalam kalangan kanak-kanak sejurus selepas ia diperkenalkan.
"Curling memerlukan kerjasama sesama pemain. Murid-murid di sini mengalami halangan dalam komunikasi interpersonal. Jadi, sukan ini amat sesuai untuk mereka yang kecacatan akal," katanya.
Selain Jiangxi, sekolah pendidikan khas di wilayah Mongolia Dalam, He'nan dan lain-lain juga membudayakan sukan ais dan salji kepada pelajar.
Di provinsi Hebei pula, sekolah khas tempatan mula mewajibkan pengajaran sukan paralimpik musim sejuk pada 2018.
Populariti sukan ais dan salji dalam kalangan OKU turut meletakkan asas kepada perkembangan sukan paralimpik musim sejuk di China. Daripada tidak sampai 50 orang, atlet para China bertambah kepada hampir 1,000. Manakala, untuk jenis sukan pula, kini terdapat enam acara utama berbanding hanya dua sebelum ini.