Sistem Pandu Arah Beidou Terbuka kepada Dunia

2022-06-15 14:38:46  cri
Share with:



Sistem pandu arah satelit global China, Beidou-3 yang mula beroperasi pada Julai 2020 kini diguna pakai oleh lebih separuh negara dan wilayah di seluruh dunia.

Dilengkapi dengan 45 buah satelit, sistem Beidou menawarkan tujuh jenis perkhidmatan antaranya tiga yang menyasar seluruh dunia iaitu penentududukan, pemanduan arah dan pemakluman masa, komunikasi pesanan ringkas serta operasi mencari dan menyelamat.

Sistem Beidou yang mempunyai prestasi bertaraf dunia, mampu melakukan penentududukan dengan ketepatan dalam 10 meter di lingkungan sejagat, dan dalam 5 meter di rantau Asia Pasifik.

Sistem Beidou terbuka kepada dunia dan menyediakan perkhidmatan pandu arah asas yang percuma kepada penerbangan awam global.

Selain itu, ia turut menawarkan perkhidmatan dalam pelbagai bidang sosioekonomi untuk negara-negara di rantau ASEAN, Asia Selatan, Eropah Timur, Asia Barat, Afrika, dan banyak lagi.

Pada 2013, lebih 500 terminal Beidou digunakan dalam sektor pertanian di Myanmar, sekali gus merekodkan penggunaan pertama fungsi ketepatan tinggi Beidou secara berkumpulan dalam pengumpulan data pertanian dan pengurusan tanah secara teliti di negara ASEAN.

Pada November 2014, pusat data dan perkhidmatan ASEAN untuk sistem Beidou ditubuhkan di Malaysia.

Difahamkan, ia mampu menyediakan tujuh perkhidmatan utama kepada Malaysia, termasuk amaran awal bencana, pemanduan arah untuk kereta, pengendalian pertanian secara halus, operasi mencari dan menyelamat maritim, pengurusan pelabuhan secara pintar, keselamatan sektor perlombongan dan lalu lintas pintar.

Di Thailand pula, perkhidmatan pandu arah Beidou juga membantu meningkatkan kecekapan dan menjamin keselamatan logistik dalam proses pengeksportan negara itu.