Pelbagai Langkah Diambil Tangani Masalah Banjir di China
China kini sedang sehabis baik menangani masalah banjir di beberapa kawasan aliran Sungai Mutiara dan Sungai Yangtze.
Menurut ramalan Kementerian Sumber Air (MWR) China, mulai dari sekarang hingga hujung Ogos, bencana banjir besar mungkin akan berlaku di kawasan aliran tengah dan hilir Sungai Kuning, Sungai Hai, Sungai Liao, Sungai Huai dan Sungai Han.
Turut difahamkan, hujan lebat juga mengakibatkan kejadian banjir di kawasan aliran Sungai Yangtze, Sungai Songhua dan Tasik Taihu.
Pada beberapa tahun kebelakangan ini, China giat memelihara dan memulihara ekologi persekitaran dan pemuliharaan sumber air untuk mengelakkan penyerapan air dan hakisan tanah, membina infrastruktur pengairan, menghapuskan risiko dan memperkukuh takungan air, menyempurnakan sistem pencegahan dan pengurusan banjir, meningkatkan keupayaan dalam bidang amaran pengesan banjir dan pengaturan secara saintifik, di samping mengamalkan sistem tanggungjawab kawalan banjir.
Langkah-langkah tersebut terbukti berkesan dalam menangani masalah banjir sehingga sekarang.
Untuk rekod, jumlah takungan air yang disiap dibina di China mencatat lebih 98 ribu, manakala tambak pelindung pula menokok sepanjang 430 ribu kilometer.
Selain itu, pembaikpulihan telah dijalankan di sungai bersaiz sederhana dan kecil sepanjang 11 ribu kilometer.
Dengan terbentuknya sistem pencegahan banjir yang berasaskan laluan sungai, tambak, takungan air dan kawasan penyimpanan air bah sungai di kawasan aliran tujuh sungai utama dan penyempurnaan sistem amaran pengesan banjir, keupayaan China dalam usaha menangani masalah banjir pada masa ini adalah terkuat sejak Republik Rakyat China ditubuhkan.
Dalam perkembangan lain, China juga bersiap mengambil pelbagai langkah untuk mengawal bencana banjir dan meminimumkan kesan negatif bencana terhadap kehidupan penduduk tempatan.
Langkah-langkah tersebut meliputi pengaktifan mekanisme respons kecemasan pencegahan hujan lebat dan banjir pelbagai peringkat di pelbagai tempat berkenaan, menutup sekolah menengah dan rendah, menghentikan projek pembinaan di luar, menutup laluan perjalanan bawah tanah, memberi amaran tepat pada waktunya kepada penduduk di kawasan yang berisiko tinggi dilanda bencana untuk membuat persiapan pemindahan, dan membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).