Negara RCEP Mahu Perluas Perdagangan Perkhidmatan dengan China

2022-09-04 15:20:13  CRI
Share with:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa secara rasmi bermula tahun ini.

Dalam kerangka RCEP, China membuka lagi 22 sektor perkhidmatan yang baharu dan terus meningkatan taraf keterbukaan dalam 37 sektor perkhidmatan, yang dilihat sebagai satu lonjakan besar dalam pelaksanaan dasar pintu terbuka di negara ini.

Beberapa negara anggota RCEP telah menganjurkan pameran bertema atas nama negara sendiri semasa berlangsungnya Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2022 di Beijing pada 31 Ogos hingga 5 September ini.

Filem, pasca produksi filem dan drama televisyen serta permainan video merupakan antara kandungan utama yang dipaparkan di Pavilion Kebangsaan Thailand sempena CIFTIS kali ini.

Selain itu, platform e-dagang rasmi Thailand dan logo pensijilan ‘Thai Select’ juga merupakan kandungan penting dalam rancangan promosi premium Thailand menerusi pameran kali ini.

Ketua Wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia di China, See Chee Kong memberitahu wartawan bahawa RCEP berkuat kuasa secara rasmi di Malaysia pada 18 Mac tahun ini.

Dengan demikian, perdagangan, pelaburan dan kerjasama yang saling menguntungkan Malaysia-China dijangka terus rancak, dan akan membawa lebih banyak dividen kepada sektor korporat dan rakyat kedua-dua negara.

'Contohnya, jumlah dagangan Malaysia-China dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini telah meningkat 20.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, mencecah USD114.5 bilion (RM513.46 bilion).

Perdagangan kargo dan perkhidmatan kedua-dua negara dijangka akan terus berkembang dalam kerangka RCEP pada masa depan,' ujarnya.

Seperti yang disifatkan Naib Menteri Perdagangan China, Sheng Qiuping sebelum ini, penguatkuasaan rasmi RCEP turut mencerminkan pelaksanaan dasar pintu terbuka China diperluas secara berterusan.

Negara ini akan mengambil kesempatan berkat pelaksanaan RCEP bagi memperluas skala perdagangan perkhidmatan dengan pelbagai negara RCEP lain.